Shabery beramah mesra bersama para penerima anugerah di Majlis Malam Anugerah Tani Bernas 2017 yang diadakan di Hotel Istana. FOTO Eizari Shamsudin
Shabery beramah mesra bersama para penerima anugerah di Majlis Malam Anugerah Tani Bernas 2017 yang diadakan di Hotel Istana. FOTO Eizari Shamsudin
Yusmizal Dolah Aling dan Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Bagi membantu pesawah yang berdepan masalah bencana hingga menyebabkan kerugian, Syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) menyumbang RM10 juta untuk tabung insurans.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kementerian akan membawa perkara itu ke kabinet dan ia berada di peringkat akhir untuk dilaksanakan.

Katanya, jika semuanya berjalan lancar, ia bakal memberi manfaat kepada kira-kira 200,000 pesawah di seluruh negara untuk membantu meringankan beban akibat bencana.

"Ia akan diberi kepada pesawah untuk membantu dan akan diberi secara menyeluruh, namun mereka perlu mengikut kaedah ditetapkan. Buat masa ini ia sedang dalam pertimbangan akhir,"katanya pada sidang media selepas merasmikan Malam Anugerah Tani BERNAS 2017 di sini hari ini.

Pada majlis yang julung kalinya diadakan itu, beliau turut menyampaikan anugerah kepada pemborong dan pengilang Bumiputera, pesawah serta Anugerah Khas kepada pembekal perkhidmatan.

Selain itu Ahmad Shabery turut menyerahkan pakej umrah kepada wakil petani terpilih menerusi Program Rakan Ladang (PRL) BERNAS.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2017 @ 11:52 PM