SEBUAH kereta yang rentung selepas terbakar di Adelaide Hills.
SEBUAH kereta yang rentung selepas terbakar di Adelaide Hills.

Sydney: Cuaca lebih sejuk semalam membantu ratusan anggota bomba mengawal kebakaran besar yang memaksa ribuan penduduk meninggalkan rumah mereka di Australia Selatan.

Lebih 12 kediaman musnah dalam kebakaran di Adelaide Hills sementara 20 lagi juga dikhuatiri terbakar, kata Perdana Menteri Australia Selatan, Jay Weatherill.

Seramai 22 orang cedera, tetapi tiada yang serius.

Cuaca panas dan berangin yang menyebabkan kebakaran merebak sejak Jumaat lalu berkurangan semalam dan membolehkan pegawai menurunkan tahap ancaman bahaya.

Anggota bomba bertungkus-lumus membersihkan jalan raya dan polis membenarkan sebahagian penduduk pulang ke rumah masing-masing, kata Pesuruhjaya Polis Gary Burns.

“Kami membuka semula beberapa kawasan yang sudah disahkan selamat.

“Bagaimanapun, masih terdapat risiko besar yang dikaitkan dengan pokok tumbang dan talian elektrik putus,” katanya.

Penduduk di 19 kawasan terjejas terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing apabila kebakaran itu merebak. Sejumlah kucing dan anjing terbunuh apabila sebuah rumah peliharaan haiwan musnah dijilat api.

Di Victoria, hujan membantu anggota bomba mengawal satu lagi kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah.

Kebakaran hutan biasa berlaku di kebanyakan kawasan di Australia setiap kali musim panas. Pada 2009, 173 orang terbunuh dan lebih 2,000 rumah musnah apabila kebakaran melanda Victoria. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 January 2015 @ 5:53 AM