Norizuan Shamsuddin


Hulu Selangor: Operasi SAR mencari dua kanak-kanak yang masih hilang di Sungai SKC dekat Kampung Timah, Bukit Beruntung, kelmarin, diteruskan pagi ini.

Komander Operasi SAR Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Penolong Penguasa Bomba Kamil Hamadan, berkata 97 anggota dan sukarelawan berganding tenaga hari ini.

Katanya, misi mereka satu iaitu mencari Muhammad Ikhwan Mohd Ridwan, 12, dan rakannya, Muhammad Aiman Kamarul Arifin, 12, selepas SAR ditangguhkan, kira-kira 7 malam semalam.

Katanya, 56 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM), polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam (APM) menghulurkan bantuan.

“Kami turut dibantu 41 sukarelawan dari Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan orang awam bagi memudahkan operasi.

"Operasi SAR akan dilakukan bermula di lokasi kejadian sehingga ke muara sungai membabitkan keluasan lima kilometer radius.

“Lima bot digunakan bagi mencari di muara sungai," katanya pada sidang media di Pusat Operasi SAR, di sini, hari ini.

Masih dicari

Muhammad Aiman Kamarul, 12

Mohd Ikhwan Mohd Ridhuan, 10

Lemas

Mohd Aiman Fitri Md Asmadi, 12

Amirul Hakimi Khairul Amru, 9

Shahrizwan Abdullah, 10

Shahrizat Abdullah, 12

Mohd Iskandar Shah Abdullah, 11.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2017 @ 10:56 AM