ABDUL Farid
ABDUL Farid

Kuala Lumpur: Malayan Banking Bhd (Maybank) kini menetapkan kadar asas (BR) dan kadar asas Islam bagi Maybank Islamic, pada 3.20 peratus yang berkuatkuasa semalam.

Presiden Kumpulan Maybank dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Farid Alias berkata, kadar asas itu menggantikan kadar asas pinjaman (BLR) dan kadar pembiayaan (BFR), bagi pembiayaan Islam.

Beliau berkata, ia akan menjadi kadar rujukan utama bagi semua kadar apungan runcit/pembiayaan baru oleh Maybank/Maybank Islamic dan selaras kerangka kadar rujukan baru yang diperkenalkan Bank Negara Malaysia.

“Penetapan BR ini dibuat berdasarkan penanda aras kos dana Maybank/Maybank Islamic, serta keperluan rizab berkanun (SRR).

Komponen lain penetapan nilai pinjaman seperti risiko kredit peminjam, risiko premium mudah tunai dan kos operasi akan turut dipaparkan dalam satu penyata di atas BR,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Mengikut kerangka baru itu, semua pinjaman/pembiayaan baru seperti gadaian, pinjaman unit amanah, pembiayaan margin saham, pinjaman peribadi dan kemudahan overdraf yang dipohon pelanggan individu adalah berdasarkan BR berkenaan.

Katanya, pelanggan runcit yang mempunyai pinjaman/pembiayaan sedia ada berdasarkan BLR/BFR, akan terus terikat dengan syarat BLR/BFR berkenaan sehinggalah pinjaman itu selesai/tamat atau dikaji semula, mengikut yang mana sesuai digunapakai.

Menurutnya, bagi pelanggan yang sudah memohon bagi pinjaman/pembiayaan sebelum 2 Januari 2015 dan diluluskan selepas itu, akan menyaksikan pinjaman mereka dibuat mengikut BLR/BFR yang dinyatakan.

Farid berkata, BLR Maybank dan BFR Maybank Islamic masa kini, kekal pada 6.85 peratus dan Maybank/Maybank Islamic akan terus memaparkan maklumat BR dan BLR/BFR di semua cawangan dan laman web syarikat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 January 2015 @ 5:05 AM