Muhammad Mustakim Ramli


Kangar: Pesawah dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas enam pertuduhan berasingan susulan kejadian amuk di Behor Empiang, di sini, pada 25 Januari lalu.

Hakim Azman Abu Hassan menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Nizam Mat Saad, 39, selepas dia mengaku salah atas semua pertuduhan yang didakwa dilakukan dalam kejadian jam 4.45 petang itu.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd Nizam didakwa memiliki senjata berbahaya iaitu kapak dan parang mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357), selain didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Sarjan Abdul Rani Omar menggunakan mesin rumput.

Bagi pertuduhan itu, hakim menjatuhkan hukuman penjara lima tahun manakala untuk kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, Azman menetapkan hukuman penjara tiga tahun ke atas tertuduh.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam, M Kaneson daripada melakukan tugasan sebagai pegawai polis dan dijatuhkan hukuman penjara satu tahun.

Pertuduhan keempat pula, tertuduh mengaku salah memiliki senapang buatan sendiri dan dihukum penjara lapan bulan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 (Akta Senjata 206).

Tertuduh turut dijatuhi hukuman penjara setahun enam bulan serta satu sebatan mengikut Seksyen 3 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 selepas mengaku salah memiliki bahan letupan iaitu satu botol kaca berisi petrol.

Bagi pertuduhan keenam pula, Mohd Nizam dijatuhi hukuman setahun penjara mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama, atas kesalahan menyebabkan kecederaan kepada isterinya pada 24 Januari 2017.

Hakim memutuskan semua hukuman berjalan serentak bermula tarikh tertuduh ditangkap sekali gus Mohd Nizam dipenjara lima tahun dan satu sebatan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari manakala tertuduh diwakili peguam Zuhair Ahmad Zakuan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2017 @ 4:45 PM
Mohd Nizam diiringi polis selepas Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan. FOTO  Azhar Ramli
Mohd Nizam diiringi polis selepas Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan. FOTO Azhar Ramli