Claudio Ranieri dipecat Fulham. FOTO Reuters.
Claudio Ranieri dipecat Fulham. FOTO Reuters.
AFP

KHIDMAT Claudio Ranieri sebagai pengurus di Fulham berakhir semalam selepas hanya bertugas empat bulan bersama kelab Liga Perdana itu.

Warga Itali berusia, 67 tahun, itu dikenali ketika membantu mencatat pencapaian luar biasa Leicester City memenangi kejuaraan liga pada 2016 gagal membantu kebangkitan Fulham selepas menggantikan Slavisa Jokanovic yang juga dipecat pada November lalu.

Ranieri mengendalikan 16 perlawanan hanya mencatat tiga kemenangan, dan terbaru tewas kepada Southampton, 0-2 sekali gus meletakkan pasukan itu di kedudukan kedua terbawah dan berada di ambang penyingkiran dengan baki 10 perlawanan.

Kekalahan di St Mary menjadi detik terburuk apabila penyokong pasukan itu menjerit sambil menyanyi lagu ‘you don't know what you're doing’ yang ditujukan kepada Ranieri.

Sebelum ini, pemilik Fulham, Shahid Khan berkata pelantikan bekas pengurus Chelsea itu adalah ‘bebas risiko’.

Namun, penyokong Fulham yang berang membawa kain rentang ke Southampton dengan tulisan: "Bebas risiko? Tony Khan adakah awak melihatnya?", yang ditujukan kepada anak pemilik Fulham yang dikatakan mengawal polisi utama kelab itu.

"Dengan keputusan kami petang ini, Claudio Ranieri setuju dengan keputusan saya demi kepentingan semua pihak,” kata Shahid Khan menerusi kenyataan.

Pelaburan Khan sebanyak £100 juta (RM540 juta) untuk membeli pemain baru selepas mendaki ke Liga Perdana musim ini memakan diri kerana Ranieri dikatakan berlagak seperti ‘lelaki sempurna’ ketika mesyuarat.

"Kehadiran Claudio di Fulham tidak memberikan hasil yang kami mahukan seperti yang diharapkan ketika kami melantiknya sebagai pengurus pada November, tetapi semua kesalahan tidak boleh diletakkan ke bahunya sahaja,’ kata Khan.

"Claudio bekerja di bawah situasi sukar dengan hanya meraih satu mata dalam lapan perlawanan ketika melangkah masuk dan mampu melonjak dengan sembilan mata dari lapan perlawanan sejurus dia mengambil alih tugas sebagai pengurus.

"Malangnya kami gagal meneruskan rentak cemerlang selepas itu, saya sangat berterima kasih dia atas kegigihan yang dilakukan,” katanya.

Ranieri, yang sebelum ini turut dipecat Leicester beberapa bulan selepas bergelar juara, berkata dia sedih dengan keputusan itu biarpun berjaya menghidupkan semangat pemain untuk bangkit meskipun ia kelihatan agak malap.

“Saya sangat kecewa dengan keputusan perlawanan kebelakangan ini dan ia tidak membantu memulihkan semangat pemain ketika saya dilantik,” kata Ranieri yang mengambil alih ketika Fulham hanya memungut satu mata dalam lapan perlawanan terdahulu.

Bekas pemain tengah England, Scott Parker yang mengakhiri karier bola sepak di Fulham dilantik sebagai pengendali sementara untuk membimbing pasukan Fulham selepas ketiadaan Ranieri.

Ranieri adalah pengurus keenam yang dipecat dalam Liga Perdana musim ini, beberapa hari selepas Claude Puel dipecat Leicester.

Sebelum ini, Jokanovic, Mark Hughes (Southampton), Jose Mourinho (Manchester United) dan David Wagner (Huddersfield) juga antara pengurus yang ditamatkan perkhidmatan oleh kelab mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 8:59 AM