Nursyahirah Marzuki


Putrajaya: Tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap majikan yang menjadikan 13 individu di sebuah ladang di Kampung Tasek, Pengkalan Hulu, Perak Ahad lalu sebagai hamba abdi.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana majikan yang didapati menindas pekerja dan melanggar peraturan yang ditetapkan kerajaan.

“Saya difahamkan baru-baru ini berlaku penindasan pekerja mereka dengan memberi bayaran murah dan bekerja selama 12 jam, perkara ini tidak sepatutnya terjadi.

“Saya sudah mengarahkan pegawai di kementerian untuk memantau dan membuat siasatan terperinci supaya kita boleh mengambil tindakan ke atas majikan yang tidak berperikemanusiaan itu,” katanya pada sidang media selepas melawat tapak pembinaan Parcel F dan Majlis Pelancaran Garis Panduan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) di Industri Pembinaan (Pengurusan) 2017 di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Kementerian Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abd Muttalib dan Ketua Pegawai Eksekutif Putrajaya Holdings (PjH) Datuk Azlan Abdul Karim.

Muka depan Harian Metro semalam melaporkan 13 individu, termasuk enam wanita daripada tiga keluarga warga Malaysia diselamatkan dalam operasi membanteras pemerdagangan manusia oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sebuah ladang terpencil di Kampung Tasek di sini, awal pagi Ahad lalu.

Serbuan jam 1 pagi itu turut menahan pasangan suami isteri, masing-masing berusia 44 dan 24 tahun dipercayai majikan yang menjadikan semua individu terbabit sebagai hamba abdi dengan diarah bekerja selama 12 jam sehari tanpa cuti dengan gaji RM4 sehari sejak hampir dua tahun lalu.

Semua mangsa dewasa itu berusia antara 27 hingga 64 tahun manakala dua remaja lelaki berusia 13 dan 17 tahun.

Polis turut menyelamatkan lima kanak-kanak berusia antara dua hingga tujuh tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2017 @ 7:10 PM