GUERRA (kiri) menjaringkan gol ketiga ketika menentang T-Team, kelmarin.
GUERRA (kiri) menjaringkan gol ketiga ketika menentang T-Team, kelmarin.
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pemain import Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Gabriel Guerra yang mencipta sejarah dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) apabila muncul pemain pertama melakukan hatrik pada dua saingan liga berbeza iaitu Liga Perdana dan Liga Super musim ini menyifatkan ia hasil kerjasama sepasukan.

Pemain import dari Argentina itu menjaringkan hatrik ketika bersama Johor Darul Ta’zim II (JDT II) menewaskan Perlis 4-0 pada aksi Liga Perdana, 26 Januari lalu dan ketika menewaskan T-Team 3-0 pada aksi Liga Super di Stadium Larkin, malam kelmarin bagaikan memberi gambaran betapa pemain itu semakin serasi dengan skuad Harimau Selatan.

Bagaimanapun, Guerra enggan dilabel selaku wira sebaliknya dia menganggap tiga gol yang terhasil untuk memastikan kemenangan Johor DT berpunca daripada semangat sepasukan yang dibentuk malah mengakui sudah serasi dengan corak taktikal yang diterapkan.

“Sudah tentu saya gembira apabila berjaya mencipta hatrik tapi saya bukanlah wira, sebaliknya rakan sepasukan yang adalah wira sebenar kerana tanpa sokongan daripada mereka mungkin saya tidak dapat jaringkan tiga gol.

“Saya tidak meletakkan sasaran untuk muncul penjaring terbanyak liga dan apa yang dilakukan lebih terarah kepada amanah yang diberikan untuk memastikan kemenangan buat Johor DT. Tidak langsung terfikir untuk memburu status selaku penjaring terbanyak.

“Jangan samakan saya dengan dua bekas pemain import Johor DT, Jorge Pereyra Diaz dan Juan Martin Lucero kerana kedua-dua pemain itu ada kelas tersendiri dan saya kagumi mereka dan saya pula ada cara tersendiri,” katanya.

Guerra yang beraksi di posisi sayap kanan dengan formasi 4-2-3-1 memulakan sentuhan berbisa pada minit ke-10 dan disusuli pada minit ke-30 dan kemudiannya melengkapkan hatrik pada minit ke-39.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2017 @ 8:36 AM