Rosman (tiga dari kanan) memberi maklumat mengenai teknik mencanting batik kepada pengunjung. FOTO Hamzah Osman
Rosman (tiga dari kanan) memberi maklumat mengenai teknik mencanting batik kepada pengunjung. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman


Langkawi: Kompleks Kraf Langkawi (KKL) di Teluk Yu, di sini, berjaya merekodkan jualan sebanyak RM2.2 juta tahun lalu, sekali gus mengatasi RM1.5 juta Indeks Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan pengurusannya.

Pengurusnya, Rosman Manan berkata, statistik itu membuktikan betapa industri kraf mempunyai potensi untuk berkembang dan mampu memberi pulangan lumayan kepada penggiatnya.

"Kami menerima 74,461 pengunjung dengan pecahan 65,244 mewakili pelancong domestik, manakala bakinya 9,217 adalah pelancong luar negara sepanjang tahun lalu.

"Sebanyak RM2.2 juta hasil jualan produk kraftangan direkodkan tahun lalu termasuk sumbangan terbesar ketika Festival Kraf Langkawi," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Rosman berkata, kompleks yang beroperasi setiap hari mulai jam 10 pagi hingga 6 petang itu menyediakan pameran produk kraf seperti batik, tenunan, anyaman, logam dan seramik, selain jualan serta demonstrasi kraf.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2017 @ 11:29 AM