EMIR (dua dari kiri)  pada Majlis Penyerahan Jersi Raja Bukit LTdL di Kementerian Belia dan Sukan, semalam.
EMIR (dua dari kiri) pada Majlis Penyerahan Jersi Raja Bukit LTdL di Kementerian Belia dan Sukan, semalam.

Putrajaya: Saingan empat jersi utama Le Tour de Langkawi (LTdL) 2017 sukar diramal dan terbuka kepada beberapa pasukan.

Itu kesimpulan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LTdL Emir Abdul Jalal mengenai perlumbaan berstatus 2.HC yang dijadualkan bermula 22 Februari ini.

LTdL mempertandingkan jersi kuning (juara individu keseluruhan), merah polka dot (Raja Bukit), teal (Raja Pecut) dan putih (pelumba terbaik Asia).

“Kebiasaannya kita boleh menjangka pelumba mana yang mampu menjuarai jersi namun situasi berbeza tahun ini.

“Apabila saya melihat senarai nama pelumba yang akan beraksi, peluang agak terbuka jika pasukan menggunakan strategi betul. Saingan pasti sengit,” jelasnya.

Selain pasukan tunggal berstatus Pro Tour, Dimension Data, saingan untuk meraih jersi utama tertumpu kepada pasukan Unitedhealthcare Daniel Jaramillo serta beberapa pelumba Columbia seperti Rodolfo Torres, Egan Bernal dan Ivan Sosa.

“Jaramillo pasti mahu meraih jersi kuning selepas hanya tewas beberapa saat pada tahun lalu. Begitu juga Manzana Postobon Team dari Columbia yang sememangnya terkenal dalam melahirkan pelumba hebat. Pelumba dihantar mungkin belum dikenali selain kemampuan juga tidak diketahui,” tambahnya.

Tambah Emir, perubahan laluan yang diumumkan beberapa hari lalu turut menjadikan saingan lebih menarik.

“Setiap laluan mempunyai kesukaran tersendiri dalam menguji ketahanan pelumba. Terdapat beberapa pendakian yang mencabar pada peringkat ketujuh dan lapan sekali gus sukar untuk kita meramalkan pemenang nanti,” tambahnya.

Terdahulu berlangsung majlis penajaan berjumlah RM1.5 juta sumbangan Maxxima Health Sciences (M) Sdn Bhd.

Syarikat itu mempertaruhkan produk makanan kesihatannya, CellMaxx untuk menaja jersi Raja Bukit pada edisi 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2017 @ 9:07 AM