RUANG kokpit pemandu yang sarat dengan butang kawalan.
RUANG kokpit pemandu yang sarat dengan butang kawalan.
ENJIN 2.4 liter yang menjimatkan minyak.
ENJIN 2.4 liter yang menjimatkan minyak.
BUMBUNG suria dipadankan pada model ini.
BUMBUNG suria dipadankan pada model ini.
PERUMAH lampu depan yang sporty.
PERUMAH lampu depan yang sporty.
Badrila Jamlus


Kehadiran model Honda Odyssey secara rasmi ke pasaran negara ini oleh Honda Malaysia pada 2002. Namun selepas mengalami transformasi, model kenderaan pelbagai guna (MPV) premium itu menyaksikan perubahan dari segi reka bentuk luaran dan dalamannya.

Paling ketara pintu penumpang belakang sebelum ini hadir seperti pintu sebuah kereta, namun menerusi generasi kelima, model itu tampil dengan pintu gelungsur yang dilihat lebih praktikal dan sesuai dengan gaya sebenar sebuah MPV.

Odyssey dijana oleh enjin yang baru iaitu enjin Teknologi Earth Dreams 2.4L DOHC i-VTEC yang menghasilkan kuasa maksimum 129kW pada 6,200rpm dan kuasa kilas 225Nm pada 4,000rpm dengan Transmisi Berubah-ubah Berterusan (CVT).

Dalam sesi pandu uji dilakukan, membuktikan enjin Odyssey ini mampu memberikan pecutan dinamik semasa permulaan, teratas dalam kelas penjimatan bahan api dan pelepasan asap bersih yang tiada tandingan bagi pemanduan di jalan raya biasa dan lebuh raya.

Enjin ini menawarkan output, kuasa kilas dan kecekapan api lebih baik berbanding enjin model sebelum ini malah dengan tangki penuh, model itu mampu mencapai jarak pemanduan lebih 400 kilometer dalam pelbagai jenis pemanduan sama ada kelajuan rendah atau tinggi.

Untuk memberikan penjimatan lebih pada bahan api, tekan saja mod ECON yang tidak menjejaskan prestasi pemanduannya setiap kali pedal minyak ditekan secara tiba-tiba untuk memotong kenderaan di hadapan.

Jika dilihat kepada reka bentuk luaran Odyssey, model itu menggabungkan gaya MPV tetapi pemanduan seakan sebuah kereta sedan. Jeriji depan dengan kemasan krom penuh memberikan gaya mewah manakala paparan lampu depannya yang lengkap dengan lampu nyalaan siang (LED) cukup menampilkan karakter sebenarnya.

Odyssey menampilkan ‘Platform Lantai Ultra-Rendah’ yang baru dibangunkan, di mana ia mewujudkan kabin yang luas seperti yang ada pada MPV kelas besar dan selesa membawa tujuh penumpang. Bumbungnya lebih tinggi dan lantai lebih rendah. Ruang dalamannya kini lebih luas hasil daripada platform ini.

Dengan pusat graviti rendah dan sistem gantungan dipertingkatkan, platform baru ini memberikan pengendalian stabil dan menyeronokkan serta lancar. Penumpang akan teruja dengan reka bentuk ruang dalaman yang bergaya apabila melangkah masuk menerusi pintu gelongsor berkuasa.

Ciri Masuk Pintar dengan butang tekan menjadikan Odyssey EXV begitu mudah dikendalikan malah dengan padanan sistem kamera 360 darjah, tugas untuk meletakkan kenderaan atau melalui laluan sempit cukup mudah kerana kamera bukan saja di hadapan tetapi di sisi kenderaan ini.

Imej ketika mengundur atau meletakkan kenderaan jelas dipaparkan pada skrin sentuh bersaiz tujuh inci dan pemandu juga boleh memilih tiga mod pilihan. Sistem kamera ini juga akan berfungsi secara automatik dalam kelajuan rendah iaitu di bawah 20 kilometer seperti ketika berhenti di persimpangan mahupun ketika mahu menaiki bangunan.

Melangkah ke ruang kokpit pula, model ini memiliki kemasan panel dan instrumen yang tersusun kemas dan menarik. Sistem kawalan pendingin hawanya hanya memerlukan sentuhan ringkas tanpa sebarang tombol perlu diputar. Begitu juga paparan panel meter kelajuan dan petunjuk lain yang mesra pemanduan.

Bagi mereka yang mahu mencuba prestasi sebenar Odyssey ini, tekan sahaja pedal shif di belakang stereng yang memberikan tukaran gear dari satu hingga tujuh dengan mudah sekali gus tumpuan penuh dapat diberikan dalam setiap pemanduan.

Beberapa butang kawalan juga dipadankan pada stereng seperti kawalan Bluetooth untuk telefon disambung kepada kenderaan dan kawalan ‘cruise’ pada sebelah kanan stereng.

Untuk keselesaan penumpang belakang pula, kerusi saduran kulit berkonsepkan Cradle Captain Premium dengan Ottoman ditawarkan siap dengan pelaras kaki seakan-akan dalam kedudukan kerusi tidur. Kerusi ini boleh diubah kepada 3-kedudukan dan terdapat juga ruang kaki lebih luas untuk penumpang barisan kedua, hasil daripada lantai rendah.

Suis kawalan pendingin hawa untuk penumpang belakang terletak di atas bumbung dan corong pendingin hawa pula disediakan kepada setiap penumpang belakang menjadikan perjalanan jauh cukup selesa tanpa gangguan bahang panas.

Ruang barangan di belakang adalah satu lagi ciri yang menonjol pada Odyssey. Ruang yang dipertingkatkan itu membolehkan ia muat untuk mengisi beg tanpa menjejaskan keselesaan semua tujuh penumpang. Kedudukan kerusi yang fleksibel mengoptimumkan lagi kapasiti malah kerusi barisan ketiga boleh dilaras rata dengan menarik tuil.

Odyssey EXV juga menawarkan satu lagi yang pertama bagi Honda dari segi keselamatan ketika memandu iaitu Maklumat Sudut Tidak Nampak (BSI) beserta Pemantau Trafik Bersilang (CTA). Maklumat BSI memberi amaran kepada pemandu dengan bunyi beep pada cermin sisi kiri atau kanan apabila terdapat kenderaan dari sudut tidak nampak semasa mengambil lorong.

Secara kesimpulannya, penulis berpendapat, model ini boleh menjadi pilihan kepada mereka yang mencari sebuah MPV yang praktikal tetapi tidak mahu begitu menonjol daripada segi saiz sebagaimana model MPV keluaran lain. Cuma apa yang mungkin boleh dipertingkatkan pada masa depan ialah menyediakan sebuah panel monitor kepada penumpang belakang untuk menonton DVD kegemaran khususnya ketika pemanduan jauh.

Honda Odyssey yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun ini ditawarkan dalam satu varian iaitu 2.4L EXV berharga RM255,000 dengan pilihan empat warna White Orchid Pearl, Super Platinum Metallic, Crystal Black Pearl dan Glamorous Mauve Pearl.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2017 @ 5:02 AM