Tuan Asri Tuan Hussein

Satu demi satu tangkapan suspek kes rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dikategorikan sebagai ‘ikan besar’ amat dialu-alukan dan membuka mata banyak pihak.

Sepanjang tempoh enam bulan lalu saja SPRM melakukan tidak kurang daripada 10 siri tangkapan membabitkan tokoh yang menyandang jawatan besar di kementerian, jabatan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC)

Antara mereka ialah Pengarah Tenaga Nasional Berhad (TNB) Tanah Merah Kelantan, Arman Che Othman; Pengarah Eksekutif (Pengurusan Projek) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Seri Syed Afendy Ali Syed Abid dan bekas pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Awang Mohd Tahir Mohd Talib.

Turut disiasat Pengerusi Bank Rakyat berhubung kes rasuah berjumlah RM15 juta; Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW); bekas Ketua Pegawai Eksekutif Tekun Nasional dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif IRIS Corporation yang disyaki terbabit rasuah dalam projek E-Passport sebuah negara Afrika

Terkini ditahan dan disoal siasat SPRM ialah Bekas Pengarah Besar Felda menyeleweng RM45 juta projek ternakan ikan sturgeon dan bekas ketua pegawai eksekutif TH Heavy Engineering Bhd (THHE) membabitkan rasuah dan pecah amanah berjumlah RM2.57 juta.

Ada di antara mereka sudah didakwa di mahkamah dan dalam proses perbicaraan, ada yang masih dalam tahanan reman dan ada juga yang kini dalam ikat jamin sebelum proses pendakwaan dilakukan.

Dengan penangkapan individu penting ini berserta jumlah wang yang disyaki diselewengkan menjangkau ratusan juta ringgit, sewajarnya sekalung penghargaan dan ucapan tahniah diberikan kepada SPRM.

Apapun, kisah yang menarik ini kebanyakannya baru di peringkat permulaan dan jalan ceritanya masih panjang sebelum tirai penamat dilabuhkan.

Sekiranya siri tangkapan oleh SPRM ini diibaratkan seperti filem cereka, babak atau adegan permulaan yang dipertontonkan benar-benar memukau dan boleh dianggap mampu mengikat khalayak untuk terus menonton.

Betapa tidak, penahanan Awang Mohd Tahir dianggap sebagai rekod Malaysia kerana membabitkan jumlah rampasan wang paling banyak iaitu RM114 juta serta disyaki menyalahgunakan kuasa membabitkan projek infrastruktur bernilai RM3.3 bilion di Sabah.

Kes ini juga dianggap memiliki ‘sub plot’ yang menarik apabila turut ditahan dan didakwa isteri dan timbalan beliau, selain gambar duit yang disimpan di pelbagai ruang simpanan di rumah, pejabat dan kereta pantas tular di alam siber.

Tidak kurang menarik dan memberi impak hebat ialah penahanan KSU KKLW kerana dua anaknya turut ditahan selain sejumlah 150 beg tangan dan jam tangan pelbagai jenama dirampas daripada mereka.

Ringkas kata, penahanan semua individu penting ini bersama ahli keluarga serta beberapa orang kanan masing-masing mendorong orang ramai kini tertunggu-tunggu bagaimanakah pengakhiran kisah mereka.

Semua pihak kini ingin melihat adakah di penghujung cerita kelak, maksudnya selepas kes selesai dibicarakan, keputusan yang dibuat sama hebat dan gempar seperti ketika mereka ditahan atau ia bertukar menjadi antiklimaks.

SPRM sudah melakukan tugas dan tanggungjawab mereka dengan cemerlang apabila golongan ‘ikan besar’ ini ditahan, sekali gus menutup mulut sesetengah pihak yang sebelum ini menuduh agensi itu tidak berani berbuat demikian.

Justeru, titik tumpu kini beralih kepada pasukan pendakwa raya dari Jabatan Peguam Negara serta proses perbicaraan di mahkamah yang semestinya mengambil masa berbulan-bulan atau bertahun.

Diharapkan, pendakwa raya yang ditugaskan dalam semua kes yang berprofil tinggi ini mampu memainkan peranan mereka sama cemerlang seperti petugas SPRM.

Tanpa ada prejudis terhadap sistem mahkamah dan kehakiman di Malaysia, harus diakui sedikit kelemahan dari aspek pendakwaan, lebih-lebih lagi dalam soal teknikal ada ketikanya menyebabkan keadilan gagal ditegakkan.

Semoga proses perbicaraan kelak mampu menjulang keadilan agar pihak yang bersalah menerima hukuman setimpal, biar apapun status mereka supaya segala usaha dan penat lelah penyiasat SPRM sebelum ini tidak sia-sia.

Penulis ialah Penulis Khas Kanan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2017 @ 1:30 AM