Keadaan di atas bot yang terbakar semalam.  - Foto Agensi
Keadaan di atas bot yang terbakar semalam. - Foto Agensi
AFP

Jakarta: Polis Indonesia menahan kapten bot pelancong yang terbakar menyebabkan 23 terbunuh ketika dalam perjalanan ke sebuah pulau pelancongan semalam, dengan media tempatan melaporkan kapten itu orang pertama terjun dari bot berkenaan.

Bot Zahro Express terbakar tidak lama selepas berlepas dari Jakarta membawa kira-kira 250 pelancong tempatan ke Pulau Tidung sempena cuti Tahun Baru.

Penumpang yang panik berebut jaket keselamatan sebelum terjun dari bot yang kebakaran bermula di bilik enjin yang disyaki akibat litar pintas.

Seramai 50 cedera dengan 198 mangsa masih dirawat di hospital.

Menurut polis, kapten bot berkenaan, dikenali sebagai Muhammad Nali ditahan semalam, dan kini sedang disoal siasat kerana disyaki cuai hingga menyebabkan kebakaran itu.

Media tempatan melaporkan kapten itu orang pertama terjun dari kapal, membiarkan penumpang dan anak anak kapal lain berusaha menyelamatkan diri. Dia diselamatkan selepas ditemui terapung dalam laut.

Pegawai kanan Kementerian Pengangkutan, Tonny Budiono, berkata kapten itu akan dihukum sewajarnya jika dakwaan terbabit terbukti.

“Jika kapten yang pertama terjun, dia bukan kapten kerana kapten sepatutnya yang paling akhir meninggalkan kapal,” katanya.

Tidung ialah sebahagian daripada Kepulauan Seribu yang menjadi destinasi pelancongan pada hujung minggu dan cuti am.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2017 @ 4:24 PM