Ahmad Shahabudin memeriksa perbarisan pada Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat JBPM Kedah di sini, hari ini. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Ahmad Shahabudin memeriksa perbarisan pada Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat JBPM Kedah di sini, hari ini. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menubuhkan satu lagi pasukan khas mencari dan menyelamat (SARKED) bagi membantu mengendalikan semua tugas SAR di negeri ini.

Pengarahnya Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Ahmad Shahabudin berkata, pasukan itu dipilih dari 16 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di negeri ini dan 32 anggota SARKED baru selesai menjalani latihan khas di Baling, semalam.

Menurutnya, dua anggota dari setiap balai akan bergerak dulu ke lokasi kejadian jika berlaku kes kecemasan, orang hilang di hutan, jatuh gaung, sungai atau tasik sebelum pasukan lain tiba.

“Ini akan mempercepatkan tugas penyelamatan dan SARKED sudah mula menjalankan tugas mereka selepas selesai menjalani latihan selama seminggu.

“Selain itu, kita juga mempunyai Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Multi-Skill Team (MUST) dan Pasukan Khas Taktikal Operasi dan Penyelamat Malaysia (STORM) yang turut membantu tugas-tugas khas penyelamatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat JBPM Kedah di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Ahmad turut menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota dan pegawainya serta pesara dan orang awam sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka membantu jabatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2016 @ 5:51 PM