MAYAT mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat . FOTO ihsan Polis
MAYAT mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat . FOTO ihsan Polis
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Lelaki ditemui maut selepas dipercayai terjun dari tingkat 26 hotel di bandar raya ini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam pada 10.50 malam yang memaklumkan terdapat seorang lelaki terjun dari hotel berkenaan.

Beliau berkata, berdasarkan kad pengenalan diri mangsa, lelaki itu berusia 30 tahun dan berasal dari Bukit Beruang, Melaka.

"Mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap dengan memakai baju T tanpa kolar berlengan pendek warna kelabu serta seluar jeans panjang warna biru.

"Hasil pemeriksaan mendapati kepala mangsa pecah dan terdapat tatoo gambar burung hantu serta tengkorak manusia pada tangan kanannya," katanya.

Menurut Sulaiman, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk bedah siasat dan sudah dituntut adiknya.

"Siasatan polis mendapati kejadian ini tidak mempunyai sebarang unsur jenayah dan dipercayai mangsa membunuh diri.

"Kita mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut, namun masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif sebenar mangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2016 @ 5:03 PM