Kenderaan yang rosak akibat letupan bom di luar stadium di Istanbul. - Foto REUTERS
Kenderaan yang rosak akibat letupan bom di luar stadium di Istanbul. - Foto REUTERS
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya dua serangan bom pengganas di luar Stadium Bola Sepak Besiktas di Istanbul yang meragut 29 nyawa serta mencederakan 166 yang lain.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, kerajaan Malaysia merakamkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada kerajaan dan rakyat Republik Turki serta keluarga dan mangsa yang terbabit dalam serangan itu.

"Malaysia menganggap tindakan keganasan ini tidak berperikemanusiaan dan berharap pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

"Kedutaan Besar Malaysia di Ankara mengesahkan tiada rakyat Malaysia terbabit dalam kejadian in," katanya.

Menurut kenyataan itu, kedutaan akan terus berhubung dengan pihak berkuasa Turki dan rakyat Malaysia di sana termasuk penuntut yang menuntut di Istanbul.

"Kementerian Luar ingin mengingat rakyat Malaysia yang bermastautin atau berhasrat mengadakan

lawatan ke Turki supaya sentiasa berhati-hati dan peka serta merujuk kepada panduan keselamatan yang disiarkan di laman sesawang Kementerian Luar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2016 @ 3:22 PM