KANAK-KANAK Orang Asli berdoa sebelum berkhatan dalam program Ziarah Dakwah.
KANAK-KANAK Orang Asli berdoa sebelum berkhatan dalam program Ziarah Dakwah.
Mohd Rafi Mamat


Pekan: Sempena program Ziarah Dakwah anjuran Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Runchang, di sini, kelmarin, seramai 10 penduduk Orang Asli suku kaum Jakun terbuka hati memeluk Islam.

Dalam program dua hari dengan kerjasama Pejabat Agama Daerah (PAID) dan MUIP Pekan itu turut diadakan majlis pernikahan 18 pasangan pengantin dan majlis berkhatan disertai 16 kanak-kanak Orang Asli berusia antara tujuh hingga 12 tahun.

Majlis perasmian program julung kali diadakan di penempatan Orang Asli itu disempurnakan Timbalan Yang Dipertua MUIP, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan yang turut berpeluang mendengar lafaz Syahadah saudara baru.

Hadir sama Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Datuk Mohd Ghazali Abd Aziz dan Kadi Daerah Pekan Ahmad Nizam Abdul Manan.

Sempena program itu, turut diadakan aktiviti dakwah rumah ke rumah, sumbangan makanan, persembahan kebudayaan Islam dan ceramah keselamatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2016 @ 5:30 AM