WAN Sharmila nafi berkahwin senyap-senyap. - FOTO Arkib NSTP
WAN Sharmila nafi berkahwin senyap-senyap. - FOTO Arkib NSTP
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon Wan Sharmila menafikan dakwaan dia sudah berkahwin secara rahsia selepas memuat naik gambar keputusan ujian ‘ultra-sound’ kononnya dia sedang hamil, Selasa lalu.

Wan Sharmila atau mesra dengan panggilan Lala berkata, gambar yang dimuat naik itu bukan gambar keputusan ujian ‘ultra-sound’ kehamilan, sebaliknya laporan keadaan kesihatannya yang semakin pulih selepas empat tahun mengidap sejenis penyakit.

Bagaimanapun, Wan Sharmila enggan mendedahkan penyakit yang dihidapinya itu.

“Bernikah pun belum, macam mana nak hamil? Saya terkejut apabila ada pengikut di Instagram mengatakan saya berkahwin lari dan hamil.

“Sebenarnya gambar yang dimuat naik itu adalah laporan kesihatan. Saya hanya mahu berkongsi kegembiraan apabila menerima perkhabaran baik daripada doktor tetapi lain pula jadinya,” katanya.

Menurut Wan Sharmila, berikutan ramai membuat spekulasi bukan-bukan dia terpaksa memadamkan gambar terbabit.

“Saya tak sangka mereka akan berfikir sejauh itu. Saya ingat mereka tahu penyakit saya selepas melihat gambar laporan perubatan itu.

“Bagi mengelakkan fitnah dan salah faham, saya memadam gambar itu. Bagi saya, hamil sebelum bernikah adalah isu sensitif di Malaysia dan saya tidak mahu ambil risiko,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2016 @ 7:24 PM