PENGGAMBARAN video muzik Rempuh.
PENGGAMBARAN video muzik Rempuh.
GHAZ rujuk hasil kerja pakar sinematografi terkenal, Bruno Aveillan hasilkan video muzik.
GHAZ rujuk hasil kerja pakar sinematografi terkenal, Bruno Aveillan hasilkan video muzik.
Najiy Jefri

Sentuhan magis pengarah handalan Ghaz Abu Bakar dalam pembikinan video muzik tidak perlu dipertikai lagi.

Sejak menghasilkan video muzik lagu Sesucinya Cinta Mu dendangan Anuar Zain, Ghaz terus menjadi buruan penyanyi terkenal tanah air termasuk Datuk Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Datuk Sheila Majid, Akim Ahmad, Stacy dan Alyah.

Terbaru, pengarah filem Polis Evo itu diberi kepercayaan mengarahkan video muzik single terbaru Tomok dan Black berjudul Rempuh.

Berpeluang menyaksikan penggambaran video muzik terbabit yang dilakukan Warisan Kapal Korek, Tanjung Tualang, Perak, Khamis lalu, ternyata usaha dan kreativiti Ghaz wajar dipuji.

Biarpun penggambaran itu diadakan seawal jam empat pagi dan selesai jam lima pagi keesokan harinya, Ghaz masih bertenaga dan bersemangat mendapatkan syot terbaik.

Menurut Ghaz, walaupun tawaran mengarahkan video muzik itu diterimanya dua minggu lalu, dia berjaya mendapatkan konsep yang sesuai dengan lirik.

“Sebelum memulakan penggambaran saya akan dengar lagu terlebih dahulu bagi mencari ilham.

“Sebenarnya saya sudah lama teringin mengarah video muzik ala ‘industrial punk’. Apabila dengar lagu Rempuh, saya dapat rasakan tenaga dan kekuatan yang dibawakan dua penyanyi ini hingga teruja untuk bekerjasama dengan mereka.

“Walaupun lokasinya jauh dari Kuala Lumpur, saya berpuas hati dengan suasananya. Malah komitmen yang diberikan kru produksi dan pihak pengurusan amat saya hargai.

“Bajet untuk menghasilkan video muzik ini tidak besar, jadi kena lebih kreatif dan akhirnya dapat apa yang saya nak,” katanya.

Ditanya mengenai cabaran menghasilkan video muzik itu, Ghaz memberitahu meskipun masa suntuk dia tetap berusaha menghasilkan karya yang terbaik.

“Saya banyak buat kajian sebelum penggambaran bermula. Antaranya melihat hasil kerja pakar sinematografi terkenal, Bruno Aveillan. Saya banyak belajar daripada situ dan cuba hasilkan mengikut sentuhan saya.

“Banyak perkara baru saya teroka dalam video muzik ini seperti babak api dan cahaya. Saya turut mengupah pakar lagak ngeri yang pernah bekerja dalam produksi filem untuk memastikan segala-galanya selamat,” katanya.

Duet selepas lapan tahun berharap

Siapa sangka, selepas hampir lapan tahun bernaung di bawah Monkey Bone impian Tomok dan Black merakamkan lagu duet akhirnya dapat direalisasikan.

Single berjudul Rempuh itu dihasilkan komposer terkenal Omar K, Ezra Kong dan John Jeevasingham manakala lirik pula ditulis Hael dan Zel.

Tomok mengakui teruja apabila peluang berduet dengan sahabat karibnya itu sehingga dapat menyelesaikan rakaman dalam tempoh satu jam sahaja.

“Kami berkawan sejak sama-sama menyertai Monkey Bone. Sepanjang lapan tahun berkawan baik, Saya dan Black bercadang tampil dengan single duet tetapi ada saja hal yang menghalang.

“Alhamdulillah tahun ini baru berpeluang melakukannya. Kami hanya ambil masa selama satu jam sahaja untuk merakamkan lagu ini. Mungkin disebabkan keserasian dan pengalaman memudahkan proses ini,” katanya seraya memaklumkan Rempuh mengisahkan persahabatan dan kekeluargaan.

Sementara itu, Black menyifatkan pengalaman bekerjasama dengan Ghaz adalah detik manis yang sukar diluahkan dengan kata-kata.

“Ini adalah kerjasama kedua saya bersama Ghaz selepas lagu Anugerah Terindah. Kali ini cara kerja kami lebih ekstrem selain penggambaran mengambil masa hampir satu hari.

“Banyak pengalaman menarik berlaku sepanjang penggambaran,” katanya.

Kata Black, lagu Rempuh memperlihatkan sisi berbeza dirinya selepas sering membawakan lagu balada.

“Semua lagu dendangan saya berentak balada kecuali Teman Pengganti dan Aku Rindu Sayang Kamu.

“Memang sudah lama saya teringin bawa lagu sebegini. Saya lihat ia satu peluang yang baik kerana kebelakangan ini industri kekurangan lagu rentak ini. Mungkin sudah tiba masanya saya mengubah haluan muzik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2016 @ 5:02 AM