THE Black bawa pulang RM15,000.
THE Black bawa pulang RM15,000.
Nor Akmar Samudin


Selepas enam episod bersiaran dan berjuang di pentas pertandingan Ceria I-Star, akhirnya Jumaat lalu kumpulan The Black yang dibarisi tiga peserta cilik iaitu Alif, Iddean dan Rujhan berjaya merangkul gelaran juara dan memenangi wang tunai RM15,000.

Sejak awal lagi, The Black mempunyai tahap keyakinan yang tinggi dan amat berbakat dalam persembahan komedi. Mereka juga dikurniakan bakat nyanyian, tae kwan do, hafazan dan bermain bola.

Tempat kedua menjadi milik Danish. Dengan kemenangannya itu dia membawa pulang wang tunai RM10,000 dan pemenang ketiga Sehati yang dianggotai pasangan adik-beradik daripada Indonesia, Fadhil dan Dhaifina. Mereka menerima wang tunai RM5,000.

Danish, anak kedua daripada tiga beradik, seorang pelajar pintar yang menuntut di Sekolah Kebangsaan Subang Bestari. Dia amat meminati mata pelajaran Matematik dan selalu mewakili sekolah dalam pertandingan bercerita.

Tempat keempat, CHA, IQI (kelima) dan Persembahan Terbaik Pilihan Penonton dimenangi Sehati.

Pertandingan akhir itu bersiaran secara langsung dari Studio 1, Visual Three Studio, Taman Bukit Serdang, Jumaat lalu dan disiarkan secara langsung di Astro Ceria serentak di Astro Maya HD.

Ceria I-Star menampilkan 10 peserta yang punyai pelbagai bakat dan aksi berbeza dalam menyampaikan kandungan Islamiah menerusi medium yang komersial dan di dalam talian. Peserta diberi kebebasan mempamerkan apa saja bakat yang mereka ada.

Dari pendakwah muda kepada penyanyi lagu ketuhanan sehinggalah ‘choral speaking’ dalam bahasa Arab, Ceria I-Star mahu mengangkat mesej Islam dengan cara paling menarik dan sedikit santai khususnya dalam menarik minat anak di rumah lebih mendalami konsep agama Islam yang mudah dan indah.

Pertandingan itu diadili Imam Muda Asyraf dan Amin Idris serta juri jemputan, Abam Bocey. Pentas akhir Ceria I-Star itu turut diserikan dengan persembahan Akim & The Majistret dan Aniq Ceria Popstar.

Pengacara konsert pula, Shahrul Shiro dan Ustaz Yeop.

Format Pemarkahan, 50 peratus daripada Juri dan baki 50 peratus daripada undian penonton menerusi SMS dan atas talian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2016 @ 12:40 PM