Ahmad Fauzan (baju jingga) dikenakan hukuman denda oleh Mahkamah Majistret, hari ini. FOTO Siti Nor Hidayatidayu Razali
Ahmad Fauzan (baju jingga) dikenakan hukuman denda oleh Mahkamah Majistret, hari ini. FOTO Siti Nor Hidayatidayu Razali
Siti Nor Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Seorang lelaki yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan mencuri kucing baka Parsi dan beberapa peralatan minggu lalu didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Majistret Nik Habri Muhamad menjatuhkan hukuman denda selepas tertuduh, Ahmad Fauzan Jusoh, 31, mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, lelaki tidak bekerja itu didakwa dengan niat mencuri seekor kucing baka Parsi bersama sangkar, sebuah mesin kelapa, sebuah tong gas dan tong racun bernilai RM1,000 milik Nordin Baharum, 60, di Jalan Dato Lundang, di sini, jam 3 pagi, pada 17 November 2016.

Kes itu didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Trafik, Inspektor Mohamad Marzuki Omar yang memohon mahkamah mengenakan hukuman yang sesuai kepada tertuduh.

Bagaimanapun, Ahmad Fauzan memohon mahkamah mengenakan hukuman yang ringan kepadanya.

Nik Habri kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau penjara enam bulan jika gagal bayar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2016 @ 6:18 PM