Antara barangan yang dirampas.
Antara barangan yang dirampas.
Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuching: Tiga lelaki yang terbabit dalam kegiatan pecah rumah dan curi ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Foochow, di sini, pagi tadi.

Suspek berusia 16 hingga 46 tahun itu ditahan kira-kira jam 7.30 pagi oleh sepasukan polis dari Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, suspek cuba meloloskan diri ketika serbuan dijalankan namun berjaya ditahan polis yang sudah membuat kepungan.

"Pemeriksaan lanjut menemui pelbagai peralatan pecah rumah seperti mesin geriji selain beberapa barangan elektronik yang dipercayai diperoleh dari kegiatan jenayah yang dilakukan suspek.

"Dengan tertangkapnya suspek, polis yakin dapat menyelesaikan beberapa kes pecah rumah dan curi di daerah Kuching. Semua suspek direman dan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2016 @ 5:09 PM