Mazizul Dani


Selayang: "Kalau mak mati susah, kalau Ashraf yang mati dulu tak apa."

Itu perbualan terakhir seorang pengawal keselamatan, Norashraf Yusri Nordin, 20, beberapa jam sebelum dia menemui ajal akibat kemalangan di Sungai Air Tawar, Sabak Bernam pada 22 Oktober lalu.

Kata-kata itu diungkapkan Allahyarham kepada ibunya, Siti Rogayah Murshidi, 50, pada sebelah pagi sebelum anak kedua daripada empat beradik itu meninggal dunia pada 6.45 petang 22 Oktober lalu.

"Saya tidak mengambil serius kata-kata berkenaan kerana dia memang sering bergurau dan sering mengadu nasib dengan saya.

"Tak sangka itu juga petanda Allahyarham akan meninggalkan kami selepas maut dalam kemalangan berkenaan," kata Siti Rogayah.

Dia ditemui pada Majlis Penyampaian Sumbangan Khairat oleh majikan anaknya iaitu Nusaputra Security Services Sdn Bhd di sini, baru-baru ini.

"Saya langsung tak menduga majikan anak saya ada mencarum untuk khairat kematian ini. Memanglah, duit tiada nilainya kalau nak dibayar dengan nyawa anak saya tetapi mampu meringankan beban kami," katanya yang menerima wang tunai RM5,000.

Sementara itu, Pengarah Urusan Nusaputra Security Services Sdn Bhd, Abdul Karim Gulapdin berkata, dia memandang serius kebajikan kakitangannya sejak syarikat beroperasi 16 tahun lalu.

"Banyak kejadian kemalangan berlaku kepada kakitangan saya sebelum ini terutamanya pengawal keselamatan kerana mereka terdedah kepada risiko semasa bertugas.

"Jadi saya mencari satu skim caruman khairat kematian untuk 400 kakitangan saya dan menemui MyANGKASA Mukmin seterusnya mencarum hanya RM10 sebulan seorang untuk pakej yang cukup lengkap sejak Oktober lalu," katanya.

Pengarah Urusan MyANGKASA Mukmin, Mohd Yusni Ismail berkata, antara perkhidmatan yang diberikan adalah badal haji untuk allahyarham Norashraf Yusri.

"Perkhidmatan yang kami berikan adalah pengurusan jenazah tanpa tunai daripada urusan memandikan hingga mengebumikan jenazah.

"Kita berikan RM3,000 kepada waris, khatam al-Quran, zikir tahlil, wakaf pembangunan masjid RM300 atas nama allahyarham dan badal haji yang akan dilaksanakan pada musim haji akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2016 @ 11:19 PM
Siti Rugaiyah menerima sumbangan daripada Abdul Karim sambil diperhatikan Mohd Yusni. (Gambar kecil) Allahyarham  Norashraf Yusri. FOTO Thomas
Siti Rugaiyah menerima sumbangan daripada Abdul Karim sambil diperhatikan Mohd Yusni. (Gambar kecil) Allahyarham Norashraf Yusri. FOTO Thomas