Abdullah tinggal berseorangan di bawah jambatan dengan pangkin dibina sebagai tempat tidurnya.  FOTO Rokaid Chik
Abdullah tinggal berseorangan di bawah jambatan dengan pangkin dibina sebagai tempat tidurnya. FOTO Rokaid Chik
RAJA Shamri  memujuk Abdullah berpindah ke kediaman yang lebih selesa berbanding tinggal di bawah jambatan di Kampung Sungai Durian, Pasir Puteh. FOTO Rokaid Chik
RAJA Shamri memujuk Abdullah berpindah ke kediaman yang lebih selesa berbanding tinggal di bawah jambatan di Kampung Sungai Durian, Pasir Puteh. FOTO Rokaid Chik
Rokaid Chik


Pasir Puteh: Tidak sanggup membiarkan seorang warga emas terus hidup seperti gelandangan di bawah jambatan dekat Kampung Sungai Durian, Selising, di sini, badan bukan kerajaan (NGO), The Third Force menyediakan tabung khas untuk membantunya.

Dana daripada tabung itu akan digunakan untuk membina rumah warga emas berkenaan, Abdullah Mat Jusoh, 78.

Pengasas The Third Force, Raja Shamri Raja Husin berkata, pihaknya mendapat maklumat mengenai Abdullah yang tinggal berseorangan di bawah jambatan dengan pangkin dibina sebagai tempat tidurnya.

Dia pernah berkahwin sebelum ini dan mempunyai dua anak yang meninggal dunia ketika kecil menghuni pondok usang dekat kebun getah dekat kampung berkenaan.

"Abdullah menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan selepas penduduk kampung yang prihatin membuat permohonan bagi pihaknya.

"Dia ada seorang adik namun difahamkan tidak mahu tinggal dengan saudara mara atau ahli keluarga walau sudah diajak berkali-kali kerana tidak mahu menyusahkan orang.

"Untuk itu, kita sedang usahakan untuk membina sebuah rumah untuknya supaya dia dapat menghabiskan sisa usia dengan lebih selesa. Tabung untuk dana rumah ini juga sudah dilancarkan," katanya.

Raja Shamri berkata, pihaknya juga bekerjasama dengan JKM Pasir Puteh untuk pengumpulan maklumat mengenai Abdullah.

Beliau juga memberitahu Abdullah ditawarkan rumah orang tua kelolaan JKM namun dia menolaknya.

"Setakat ini segala hal berkaitan makan minumnya atas ihsan ahli keluarga dan masyarakat setempat selain bantuan JKM," katanya.

Kisah Abdullah viral di laman sosial sebelum ini dan meraih simpati masyarakat umum.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2016 @ 3:43 PM