IDRIS (duduk tengah) bersama pemain MU di London.
IDRIS (duduk tengah) bersama pemain MU di London.

London: Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) akan mengumumkan nama ketua jurulatih baharunya menggantikan Mat Zan Mat Aris dalam tempoh sebulan.

Presiden MUFC Datuk Seri Idris Haron berkata, mereka sudah mengenal pasti jurulatih import dari Asia Tenggara dan Amerika Selatan yang berpotensi meneruskan latihan terbaik mengendalikan pasukan itu.

“Hingga kini pengurusan MUFC sedang menjalankan proses menemuduga beberapa calon jurulatih sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perjumpaan bersama pemain MU di London, semalam anjuran Mamee.

Mat Zan dilaporkan menerima tawaran pasukan AirAsia dalam Liga FAM sebagai ketua jurulatih musim depan sekali gus membuktikan bekas ketua jurulatih itu masih menjadi rebutan.

Mat Zan juga berjaya membantu Melaka menjuarai Liga Perdana musim ini dan Liga FAM musim lalu.

Idris yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, pihaknya kini terpaksa merombak pasukan selepas kecewa dengan keputusan seri ketika perlawanan terakhir menentang Sime Darby, 22 Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2016 @ 10:31 AM