Mayat M Muniamah ditemui di tepi jalan. FOTO ihsan PDRM
Mayat M Muniamah ditemui di tepi jalan. FOTO ihsan PDRM
Farah Suhaidah Othman


Kampar: Mayat wanita berusia 66 tahun ditemui dalam keadaan mulut berbuih di Jalan Besar, Malim Nawar, Simpang Taman Malim Nawar, Kampar, dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung.

Mayat M Muniamah yang juga seorang bidan tradisional kaum India ditemui orang awam di lokasi berkenaan 8 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Ng Kong Soon berkata, siasatan awal mendapati mangsa keluar rumah 6 petang semalam dari Ipoh bagi menjalankan rawatan perubatan tradisional di Malim Nawar untuk sebuah keluarga yang baru bersalin.

Katanya, berdasarkan rakaman percakapan dilakukan terhadap keluarga berkenaan, mereka sudah menghubungi wanita itu berkali-kali malam tadi namun panggilan tidak dijawab.

"Suami kepada pelanggan yang ingin mendapatkan rawatan itu kemudiannya cuba mencari mangsa disekitar kawasan Malim Nawar namun tidak berjumpa dan menghubungi anak mangsa untuk memberitahu kehilangan mangsa.

"Mangsa kemudiannya dijumpai terbaring di lokasi berkenaan dalam keadaan mulut berbuih sebelum dibawa ke Hospital Kampar untuk bedah siasat," katanya.

Kong Soon berkata, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah ditemui disebabkan rantai emas, subang, gelang tangan serta beg mengandungi dokumen masih berada padanya dan kes diklasifikasikan mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2016 @ 7:51 PM