SUHAIMI (dua kanan) menunjukkan sebahagian minyak masak yang dirampas. FOTO Yahya Zainuddin
SUHAIMI (dua kanan) menunjukkan sebahagian minyak masak yang dirampas. FOTO Yahya Zainuddin
Mohd Hafizee Mohd Arop


Ipoh: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak rampas 323 kilogram (kg) minyak masak bernilai RM1,060 dari premis pembungkus di kawasan perindustrian ringan Jelapang Maju, di sini, semalam selepas didapati menggunakan tong terpakai untuk membungkus minyak masak.

Dalam serbuan 2 petang itu, sepasukan penguatkuasa KPDNKK mengadakan pemerikaaan di premis berkenaan selepas menerima maklumat orang awam dan hasil risikan dijalankan penguatkusa.

Timbalan Pengarah KPDNKK Perak, Suhaimi Mat Sari, berkata, pihaknya turut menahan tiga lelaki berusia lingkungan 50-an termasuk pemilik premis berkenaan untuk membantu siasatan.

"Rampasan ini dilakukan kerana kita tidak mahu pengguna was-was dengan tong digunakan kerana ia turut membabitkan isu halal haram dan kita mengambil berat setiap isu membabitkan pengguna.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 22 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM1 juta bagi perseorangan atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat pula boleh didenda RM3 juta," katanya dalam sidang media diadakan di Pejabat KPDNKK Perak, di sini, hari ini.

Sementara itu, Suhaimi berkata, sehingga semalam, pihaknya sudah menerima 10 aduan membabitkan kenaikan harga melampau minyak masak di beberapa kedai runcit dan pasaraya di negeri ini.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan tindakan akan diambil sekiranya mendapati kenaikan harga itu melampau serta tidak relevan kepada pengguna.

"Kita akan ambil tindakan mendakwa peniaga ini mengikut Akta Kawalan Harga dan Pencatutan 2011 sekiranya siasatan dapati kenaikan itu melampau," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2016 @ 12:57 PM