FOTO Zairee Mohd Yasak
FOTO Zairee Mohd Yasak
Zairee Mohd Yasak


Melaka: Sepuluh pendatang asing tanpa izin (pati) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Operasi Bersepadu di Melaka Sentral, malam tadi.

Enam lelaki Indonesia manakala masing-masing dua lelaki Bangladesh dan dua wanita yang disyaki warga Indonesia ditahan dalam operasi tiga jam yang berakhir 12 tengah malam itu.

Timbalan Penolong Pengarah JIM Kassullah Ramli, berkata enam lelaki warga Indonesia ditahan ketika makan di medan selera di dalam kawasan Melaka Sentral.

"Dalam pemeriksaan awal, kami menemui pisau, parang pendek dan satu kepala tali pinggang besar yang dipercayai dijadikan senjata di dalam beg seorang daripada lelaki terbabit.

"Sementara itu, dua warga Bangladesh ditahan sebaik tiba dari Segamat dan dua wanita itu pula tiada dokumen lengkap ditahan ketika merayau di sekitar terminal bas," katanya.

Menurutnya, pati yang ditahan dikesan melakukan kesalahan mengikut Perkara 39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas atau permit dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk dan tinggal di negara ini tanpa permit sah.

Operasi yang diketuai Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) turut disertai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) membabitkan 50 anggota dan pegawai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Oktober 2016 @ 10:53 AM