REAKSI Jessica selepas Mahkamah Daerah Jakarta Tengah semalam menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun terhadapnya. - Reuters
REAKSI Jessica selepas Mahkamah Daerah Jakarta Tengah semalam menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun terhadapnya. - Reuters
AFP

Jakarta: Seorang wanita dihukum penjara 20 tahun oleh sebuah mahkamah di sini semalam selepas didapati bersalah membunuh rakan baiknya sendiri dengan meletak racun dalam kopi mangsa.

Jessica Kumala Wongso, penduduk tetap Australia didapati bersalah membunuh rakannya, Wayan Mirna Salihin di sebuah kafe di Jakarta Januari lalu.

“Tindakan tertuduh amat menyedihkan dan kejam kerana dia melakukan perkara itu terhadap rakannya sendiri,” kata ketua panel hakim, Kisworo.

Beratus-ratus orang dan wartawan memenuhi ruang mahkamah bagi mendengar keputusan kes itu yang mendapat liputan meluas media Indonesia dan juga Australia.

“Saya tidak dapat menerima keputusan itu kerana ia tidak adil dan berat sebelah,” kata Jessica selepas hukuman dibacakan.

Peguamnya, Otto Hasibuan menyatakan kekecewaannya terhadap keputusan itu dan memberitahu Jessica, 28, akan mengemukakan rayuan.

Pendakwa raya memberitahu mahkamah, Jessica memasukkan racun sianida dalam kopi Mirna ketika mereka bertemu di sebuah kafe di sebuah pasar raya di Jakarta.

Mirna, 27, pengsan selepas meminum kopi berkenaan dan meninggal dunia tidak lama selepas itu.

Jessica dan Mirna adalah rakan baik dan mereka belajar di sebuah kolej di Australia.

Pendakwa raya berkata, Jessica mahu membunuh Mirna selepas mangsa menasihatinya supaya berpisah dengan teman lelakinya, penagih dadah.

Pasukan pembelaan ketika perbicaraan memberitahu mahkamah, kes terhadap Jessica adalah lemah dan kekurangan bukti untuk membuktikan wanita itu bersalah.

Pihak berkuasa Australia turut membantu kes berkenaan selepas kerajaan Indonesia memberi jaminan Jessica tidak akan dihukum mati sekiranya didapati bersalah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2016 @ 9:30 AM