PESAWAT Sriwijaya Air di Lapangan Terbang Sultan Babullah, Ternate, Maluku Utara dilitupi  debu akibat letupan Gunung Gamalama.
PESAWAT Sriwijaya Air di Lapangan Terbang Sultan Babullah, Ternate, Maluku Utara dilitupi debu akibat letupan Gunung Gamalama.

Jakarta: Indonesia menutup sementara sebuah lapangan terbang domestik selepas sebuah gunung berapi di timur negara itu meletup, menghamburkan debu setinggi beratus-ratus meter ke udara.

Gunung Gamalama yang membentuk keseluruhan pulau Ternate di wilayah Maluku Utara meletup lewat kelmarin dan sehingga semalam masih memuntahkan abu.

Jurucakap Kementerian Pengangkutan, JA Barata berkata, walaupun penduduk di kawasan berkenaan belum diarah berpindah, pihaknya terpaksa menutup lapangan terbang Sultan Baabullah kerana abu gunung berapi yang tebal memberi risiko kepada pesawat.

Menurutnya, lapangan terbang itu akan dibuka semula hari ini jika tiada lagi letusan.

Sementara itu, seorang pegawai di pos pengawas gunung berkenaan, Darno Lamane berkata, Gamalama masih memuntahkan debu setinggi 600 meter, semalam.

Seorang pegawai agensi pengurusan bencana tempatan, Mansur Mahli pula berkata, 11 orang pengembara yang berada di gunung itu apabila ia meletup berjaya menyelamatkan diri, tetapi sebahagian mereka cedera.

“Tiga daripada 11 pengembara itu dimasukkan ke hospital kerana patah tulang,” kata Mansur.

Indonesia terletak di ‘Lingkaran Api’ Pasifik,’ tempat plat benua bertembung hingga sering menyebabkan aktiviti seismik dan volkanik.

Negara kepulauan itu mempunyai 129 gunung berapi aktif, 21 daripadanya di pulau Jawa. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Disember 2014 @ 5:03 AM