MAHASISWA dan belia pelapis kepimpinan masa depan.
MAHASISWA dan belia pelapis kepimpinan masa depan.
Suliati Asri


Sebelum Covid-19, pelbagai aktiviti rancak dijalankan terutama perarakan dan sambutan yang meriah sempena Bulan Kebangsaan yang diadakan setiap tahun.

Perkara itu sedikit sebanyak menaikkan semangat semua lapisan masyarakat terutama belia dan anak muda.

Justeru, apakah langkah terbaik bagi memupuk cintakan negara atau semangat patriotik dalam kalangan pelajar di era digital ini, sekali gus menyemarakkan semangat patriotisme ini terutama dalam kalangan mahasiswa yang juga pelapis kepimpinan masa depan negara?

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Sabri Musa berkata, menyemarakkan semangat kemerdekaan dalam kalangan mahasiswa tidak memerlukan usaha yang besar selagi ia dilakukan secara konsisten bersama ruang penambah baikan berterusan.

Pada hemat beliau, anak muda terutama mahasiswa masa kini sangat agresif dan sentiasa mempunyai semangat yang berkobar-kobar.

"Jika mereka dijadikan barisan hadapan dalam usaha meningkatkan semangat patriotik, ia langkah yang sangat sesuai.

"Naluri mereka yang akan berusaha habis-habisan dalam merealisasi visi yang jelas dalam kotak fikiran masing-masing. Ia sekali gus akan melancarkan proses pertumbuhan semangat patriotik yang diharapkan.

"Rasa sayang kepada negara juga mempunyai aura tersendiri yang akan memikat mereka untuk terus komited mengajak rakan sebaya supaya sama-sama mempertahan kedaulatannya," katanya.

Menurut Dr Sabri, UM sentiasa percaya bahawa mahasiswa adalah nadi penyambung kepada kemerdekaan kita sebagai Keluarga Malaysia.

Kata Dr Sabri, pihaknya menerapkan semangat patriotik dalam pelbagai aktiviti persatuan pelajar, kolej kediaman dan pelbagai lagi.

"Sebelum ini, ketika Minggu Haluansiswa (orientasi), Bahagian Hal Ehwal Pelajar akan turut menyambut Hari Kebangsaan yang jatuh pada waktu hampir sama.

PELBAGAI cara dilakukan dalam menterjemahkan semangat kemerdekaan dan Hari Malaysia.
PELBAGAI cara dilakukan dalam menterjemahkan semangat kemerdekaan dan Hari Malaysia.

"Apa yang saya lihat, mahasiswa UM amat memahami kepentingan menghayati semangat patriotisme dan kerana ini, mereka berusaha sedaya upaya untuk mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

"Ini termasuk dengan menerima biasiswa terkemuka seperti The Rhodes Scholarship, menjuarai pelbagai pertandingan debat dan kesukanan serta mengungguli pertandingan reka cipta antarabangsa," katanya.

Tambahnya lagi, semangat ingin mengharumkan negara dan memberi sumbangan juga diteruskan selepas mereka tamat pengajian.

"Kami berbangga dengan graduan universiti ini yang berjaya dalam pelbagai bidang seperti politik, korporat, sains dan teknologi serta kemanusiaan.

"UM terutama Bahagian Hal Ehwal Pelajar akan terus memastikan mahasiswa menghayati maksud kemerdekaan dan semangat patriotisme yang melalui kaedah berbakti kepada negara dan memberi impak kepada dunia," katanya.

Sementara itu, bagi Profesor Madya Dr Mahazir Ismail, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kedah pula berkata, sifat patriotik ialah sifat sayang dan cinta kepada negara atau tanah tumpah darah maka akan wujud 'sense of belonging' kepada negara.

Menurutnya, kepentingan 'sense of belonging' ini adalah apabila mahasiswa belajar, bekerja dan hidup bermasyarakat, mereka mempunyai jati diri dan nilai sebagai seorang warganegara yang mempunyai tanggungjawab terhadap negara.

"Sikap ini akan menjadikan mereka warganegara yang berkualiti dalam proses membangunkan dan memajukan negara.

"Ini kerana mereka akan ada sikap kesungguhan untuk membangunkan diri, keluarga dan masyarakat yang tujuan akhirnya untuk menjadikan negara lebih maju dan produktif," katanya.

Dalam masa sama tidak akan ada sifat pentingkan diri sendiri kerana apabila berjaya dalam sesuatu bidang mereka akan membawa budaya bekerja untuk negara dan bukan demi kepentingan diri semata-mata.

BELIA dan mahasiswa perlu sentiasa berusaha membuktikan kecintaan mereka terhadap negara.
BELIA dan mahasiswa perlu sentiasa berusaha membuktikan kecintaan mereka terhadap negara.

"Untuk menjadi negara maju, mahasiswa perlu mempunyai kesepaduan dan sifat holistik iaitu kualiti ilmu, kemahiran, budaya kerja cemerlang, berintegriti, beragama serta patriotik.

"Patriotik ini adalah sikap terpenting untuk mempertahankan dan mendaulatkan negara, bangsa dan agama," tambahnya.

Menurutnya, sifat patriotisme ditanam dalam kalangan mahasiswa bukan berdasarkan fizikal semata-mata.

Hal ini kerana sifat patriotisme adalah bersifat pembentukan minda dan jiwa.

"Untuk menanam dan mendoktrinasikan sikap patriotisme ini banyak kaedah boleh dilakukan.

"Antara cara yang boleh dibuat ialah pensyarah ketika mengajar dapat memberi contoh dan kes mengenai isu dan sejarah pejuang kemerdekaan terdahulu, menunjukkan gambar, filem, artifak, lagu, artikel, jurnal, TikTok dan pelbagai lagi saluran media sosial yang lebih dekat serta popular dengan mahasiswa masa kini.

"Saya percaya pendekatan begini lebih luas dan menarik dalam menyampaikan maklumat yang boleh memupuk semangat patriotik dalam keadaan pandemik yang membataskan pertemuan secara fizikal," katanya.

Sebagai ahli akademik kata Dr Mahazir, mereka perlu memberi contoh kepada pelajar bahawa dalam apa-apa sahaja bidang yang diambil oleh mahasiswa hatta sukan sekali pun.

"Mereka perlu mempunyai dan menjunjung semangat patriotisme kerana matlamat akhir kita adalah kejayaan yang boleh menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran negara dalam membentuk negara bangsa yang duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara lain serta dihormati di peringkat global," katanya.

Di samping itu, Presiden Persatuan Pemimpin Muda UM Lim San Shien berkata, pandemik bukan penghalang untuk menganjurkan program bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.

BERGANDING bahu membuktikan semangat patriotisme.
BERGANDING bahu membuktikan semangat patriotisme.

Menurutnya, semangat cinta akan negara sangat penting bagi memastikan rakyat sentiasa berganding bahu dalam menjaga kedaulatan negara dan mengorak langkah bersama mara ke masa hadapan sebagai Keluarga Malaysia.

"Walaupun dalam keadaan pandemik, pelbagai aktiviti yang memberi impak dan memupuk semangat patriotisme khasnya dalam kalangan anak muda boleh dilaksanakan kerana sifat cintakan negara perlu diwujudkan sejak muda lagi.

"Tidak boleh dilaksanakan secara fizikal, ia boleh dibuat secara dalam talian.

"Antara aktiviti dan pertandingan menarik dan interaktif yang boleh dilaksanakan secara dalam talian ialah pertandingan pidato, debat, deklamasi sajak kemerdekaan serta penulisan esei," katanya.

Beliau yang juga Ikon Siswa Kepimpinan Negeri Johor berkata, kempen penghayataan Rukun Negara perlu dipergiatkan bagi membolehkan rakyat benar-benar memahami, mempraktikkan dan menerapkan semua prinsip dalam kehidupan yang menjadi prinsip nasional.

"Dalam menghayati kemerdekaan negara, rakyat juga perlu diberikan pendedahan dan dapat memahami kerangka sistem pentadbiran negara yang bertunjangkan Sistem Raja Berperlembagaan dan Sistem Demokrasi Berparlimen melalui infografik dan tayangan video di media sosial.

"Sesi temu bual dan bual bicara dalam rancangan televisyen serta radio juga mampu menyampaikan mesej cinta akan negara.

"Program nyanyian dan mencipta lagu patriotik yang dijalankan secara dalam talian juga mampu membangkitkan semangat cinta dan bangga dengan negara dalam diri rakyat," katanya.

KIBARKAN Jalur Gemilang di rumah antara yang dilakukan ketika pandemik ini.
KIBARKAN Jalur Gemilang di rumah antara yang dilakukan ketika pandemik ini.

Dalam usaha menyemai sikap patriotisme terhadap negara dalam kalangan belia pula, ulas Lim belia boleh digalakkan untuk menjadi sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi menjayakan usaha murni untuk mencapai imuniti kelompok selari dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan memulihkan negara serta memupuk sikap cinta akan negara dalam kalangan belia.

"Untuk memperkukuhkan lagi semangat patriotisme pula, peluang perlu diberikan kepada belia dan mahasiswa berjumpa pemimpin dan tokoh dalam pelbagai bidang seperti sukan, ekonomi dan undang-undang, sekali gus memberikan platform kepada pemimpin dan tokoh bagi mendekati rakyat.

"Program sebegini juga boleh dijalankan dalam talian untuk meningkatkan daya juang rakyat demi negara dan mampu memberikan suntikan motivasi kepada rakyat supaya terus mencapai kejayaan dalam kehidupan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 7:00 AM