Rizal pada aksi separuh akhir Piala Malaysia baru baru ini. FOTO NSTP/ RASUL AZLI SAMAD
Rizal pada aksi separuh akhir Piala Malaysia baru baru ini. FOTO NSTP/ RASUL AZLI SAMAD
Oleh Aziman Rosdi


Kuala Lumpur: Gara-gara menurunkan pemain yang digantung perlawanan, Kedah menerima hukuman ditolak tiga mata dalam saingan Liga Super oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Keputusan itu yang diumumkan hari ini mendapati Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) bersalah menurunkan Mohd Rizal Mohd Ghazali yang digantung secara automatik (akibat daripada pengumpulan 3 kad kuning pada perlawanan Liga Super 2016 yang berbeza) ketika perlawanan Liga Super menentang Pahang pada 3 Ogos lalu di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Kesalahan itu berdasarkan peraturan ‘Artikel 71(c) Kod Tatatertib FAM 2015’ berkenaan ‘Obligasi Pasukan’ dan dibaca bersama dengan ‘Artikel 57.1 Kod Tatatertib FAM 2015’.

Justeru Kedah dilucutkan hak bagi perlawanan Liga Super 2016 menentang Pahang yang berlangsung di Stadium Darul Aman dan pasukan tuan rumah itu dikira kalah dengan jaringan Kedah 0-3.

KFA turut didenda sebanyak RM5,000 dan diberi amaran keras.

Walaupun ditolak tiga mata, Kedah kekal di tangga ketiga liga dengan mengumpul 34 mata manakala Pahang paling beruntung kerana tiga mata percuma itu melonjakkan mereka ke tangga kelapan liga dengan 23 mata sekali gus mengelakkan diri daripada tersingkir ke Liga Perdana tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2016 @ 3:05 PM