MENESES (kanan) tidak dapat beraksi menentang T-Team akibat penggantungan.
MENESES (kanan) tidak dapat beraksi menentang T-Team akibat penggantungan.
Asrol Awang


Kuantan: Perasaan terkilan tidak dapat disembunyikan jurulatih Pahang Razip Ismail selepas khidmat pemain import Chile Claudio Meneses gagal disenaraikan pada pertemuan dengan T-Team, Sabtu ini.

Razip berkata, ini kerana Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menolak rayuan layangan kad kuning pada pertemuan dengan Pulau Pinang, 24 September lalu.

Justeru, beliau yang begitu mengharapkan sentuhan pemain tengah itu terpaksa akur dan tetap bersedia untuk menggempur The Titans dalam usaha memburu kemenangan.

Menurutnya, ketiadaan Meneses di bahagian tengah akan dirasai semua pemain ketika aksi Liga Super pada Sabtu ini adalah penutup saingan liga berkenaan.

“Saya terkilan dengan ketiadaan Meneses tapi tetap akur dengan keputusan itu. Oleh itu saya mengharapkan barisan pemain sedia ada dapat memberikan segala-galanya buat pasukan.

“Tanpa Meneses, saya mungkin meletakkan sama ada Nor Azam Abdul Azih dan Shah Amirul Zamri dalam memperkemaskan lagi jentera tengah pasukan,” katanya di sini semalam.

Pada aksi menentang Pulau Pinang 24 September lalu, Pahang mengemukakan rayuan yang menyebabkan Meneses mengumpul tiga kad kuning.

Namun, Razip yang juga bekas pemain kebangsaan tidak mahu ketiadaan Meneses mengganggu perancangannya untuk mengutip tiga mata di tempat lawan.

“Saya harap misi utama kami mengutip tiga mata berhasil kerana hanya kemenangan akan mengesahkan Pahang kekal dalam saingan Liga Super musim depan.

“Saya tidak mahu memikirkan pertemuan Pulau Pinang dengan Terengganu dan Sarawak-Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana hanya mahu menang ke atas T-Team,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2016 @ 6:25 AM