MANGSA cedera ditetak (kiri) dan suspek yang ditangkap orang ramai (kanan). FOTO Facebook/Malaysian Response Team II
MANGSA cedera ditetak (kiri) dan suspek yang ditangkap orang ramai (kanan). FOTO Facebook/Malaysian Response Team II
Farah Suhaidah Othman


Ipoh: Lelaki warga Bangladesh yang bekerja di kedai perabot di Jalan Besar Jelapang, Ipoh, cedera di kepala selepas ditetak seorang daripada tiga penyamun bersenjatakan parang, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohd Nor Rasid berkata, ketiga-tiga suspek menunggang dua motosikal dan bersenjatakan parang cuba melarikan wang tunai dari kedai berkenaan, 2.30 petang tadi.

Katanya, mangsa yang ketika itu sedang menjaga kedai berkenaan ditetak suspek di kepala sebelum ketiga-tiga suspek melarikan diri bersama wang tunai berjumlah RM655.

Menurutnya, orang awam yang melihat kejadian itu bertindak menendang motosikal ditunggangi seorang daripada suspek menyebabkannya terjatuh dan ditangkap sebelum diserahkan kepada polis.

"Suspek berusia 33 tahun berasal dari Alor Setar, Kedah dan semakan mendapati dia mempunyai 13 rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kes manakala motosikal ditungganginya menggunakan nombor pendaftaran palsu.

"Suspek akan direman esok manakala dua lagi suspek yang melarikan diri bersama wang tunai sedang diburu. Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.

Mangsa yang cedera kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2016 @ 8:10 PM