SEORANG pekerja menyembur asap untuk membunuh nyamuk di satu kawasan di Bangkok. - Reuters
SEORANG pekerja menyembur asap untuk membunuh nyamuk di satu kawasan di Bangkok. - Reuters

Bangkok: Kerajaan Thailand membenarkan wanita yang dijangkiti virus Zika menggugurkan kandungan mereka kerana bimbang bayi dilahirkan dengan kecacatan otak atau mikrosefali, kata pegawai semalam.

Thailand pada minggu lalu mengesahkan dua kes mikrosefali yang dikaitkan dengan virus bawaan nyamuk aedes berkenaan.

Dua kes mikrosefali, satu kecacatan yang menyebabkan kepala dan otak bayi mengecil, adalah kes pertama disahkan di Asia Tenggara.

Pakar kesihatan yang bertemu pada minggu ini bagi menggariskan panduan bagi wanita mengandung yang dijangkiti Zika memutuskan ibu boleh menggugurkan kandungan mereka hingga minggu ke-24.

“Paling sukar mengenai Zika adalah menentukan mikrosefali. Ia hanya dikesan lama selepas kehamilan,” kata Presiden Obstetrik dan Ginekologi, Kolej Diraja Thailand, Pisek Lumpikanon.

Menurutnya, pengguguran perubatan boleh dilakukan sebelum usia kandungan mencecah 24 minggu.

“Selepas 24 minggu peluang untuk bayi hidup adalah tinggi,” jelasnya.

Menggugurkan kandungan adalah satu kesalahan di Thailand kecuali kes berkaitan mangsa rogol dan untuk menyelamatkan nyawa ibu.

Ketika ini tiada ujian spesifik bagi menentukan sama ada bayi dilahirkan dengan mikrosefali tetapi boleh dikesan melalui imbasan ultra bunyi ketika kandungan memasuki minggu ke-28. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2016 @ 7:27 AM