Antara bahan lucah yang dimuat naik penggodam FB YAATIM.
Antara bahan lucah yang dimuat naik penggodam FB YAATIM.
Mohamad Zulhairie Manzaidi


Kota Bharu: Pengetua Eksekutif Yayasan Kebajikan Anak-Anak Yatim Kelantan (YAATIM), Mohammad Yaakob menafikan pihaknya memuat naik bahan dan video lucah dalam Facebook (FB) rasmi yayasan itu.

Sebaliknya, beliau berkata, akaun Facebook rasmi yayasan itu digodam pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab sejak beberapa bulan lalu.

Katanya, tindakan individu itu satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan cuba menjatuhkan imej YAATIM.

"Perkara itu mula disedari sejak awal tahun ini apabila seorang demi seorang pengendali yang ditugaskan untuk menjaga akaun itu tidak boleh mengakses masuk untuk mengemaskini status terbabit.

"Kita sudah berjaya kenal pasti pelaku itu dan didapati adalah seorang bekas penghuni rumah kebajikan anak yatim, di sini dan pernah membesar di rumah ini," katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini hari ini.

Sehubungan itu, pihaknya sudah membuat laporan polis ke atas individu terbabit dan turut menghantar laporan itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Julai lalu.

"Sehingga hari ini, kita masih menunggu tindakan selanjutnya daripada SKMM dan kita berharap akaun Facebook terbabit dapat ditutup secepat mungkin.

"Kita tidak mahu orang ramai di luar sana salah faham atau mengambil perkara yang dikemaskini di Facebook berkenaan secara serius," katanya.

Beliau berkata, bagi orang ramai yang ingin berhubung dengan YAATIM, mereka boleh melayari laman web rasmi yayasan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2016 @ 8:10 PM