Mayat warga Mesir yang ditemui terapung hari ini, dibawa ke hsopital. - Foto Ihsan APMM
Mayat warga Mesir yang ditemui terapung hari ini, dibawa ke hsopital. - Foto Ihsan APMM
BERNAMA

Langkawi: Warga Mesir yang hilang selepas terjatuh dari balkoni sebuah hotel di sini, sejak empat hari lalu, ditemukan mati lemas hari ini.

Pengarah Maritim Daerah 1 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Pertama Maritim Zulkarnain Mohamad berkata, mayat Yahya Yousry Mohamad Al-Sayid ditemui terapung di laut kira-kira 12 kilometer dari lokasi dia terjatuh dari balkoni hotel berdekatan Tanjung Burau.

Mayatnya ditemui pasukan mencari dan menyelamat, dibawa ke Jeti Polis Marin di Bukit Malut sebelum dibawa ke Hospital Langkawi.

“Operasi mencari dan menyelamat agak mencabar kerana angin kuat dan laut bergelora," kata Zulkarnain.

Isteri dan beberapa orang anggota keluarga mangsa turut berada di jeti sebelum dan kenderaan polis yang membawa mayat ke hospital.

Difahamkan anggota keluarga mangsa bercadang membawa balik jasadnya ke Mesir hari ini.

Yahya Yousry tiba di sini Isnin lepas untuk bercuti bersama isteri dan mereka mendaftar masuk di Berjaya Resorts and Hotels, sebelum dilapor hilang selepas terjatuh dari balkoni chalet hotel itu kira-kira 4 petang, hari yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2016 @ 9:09 PM