Agensi

Lagos: Presiden Nigeria, Muhammadu Buhari meminta maaf kerana meniru ucapan kemenangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama pada 2008 dan berjanji menghukum sesiapa yang bertanggungjawab.

Muhammadu pada minggu lalu menyampaikan ucapan sempena pelancaran kempen ‘Perubahan Bermula Dengan Saya’ yang bertujuan membasmi rasuah di negara yang dihimpit kelemahan pentadbiran dan kemiskinan itu.

Bagaimanapun, satu perenggan ucapan itu didapati meniru ucapan Obama selepas diumumkan pemenang pilihan raya presiden AS pada 2008.

“Persamaan ucapan Obama pada 2008 dengan perenggan sembilan daripada 16 perenggan ucapan yang dibaca Muhammadu adalah terlalu hampir untuk dianggap sebagai kebetulan,” kata pejabat Presiden Nigeria dalam satu kenyataan.

Kata kenyataan itu, Muhammadu menyeru rakyat memfokuskan mesej perubahan yang diperlukan bagi mengembalikan nilai-nilai murni dalam sistem negara itu.

“Mereka yang bertanggungjawab dalam kesalahan ini akan dihukum,” tambahnya.

Ucapan itu juga menyebabkan Muhammadu menjadi mangsa usikan di laman sosial. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2016 @ 5:06 AM