DEKORASI lengkap untuk ruang dapur.
DEKORASI lengkap untuk ruang dapur.
PILIHAN material juga bergantung kepada bajet anda.
PILIHAN material juga bergantung kepada bajet anda.
MEMANFAATKAN ruang kerja sebaik-baiknya.
MEMANFAATKAN ruang kerja sebaik-baiknya.
KEMASAN ruang tamu yang lebih bergaya moden dan kontemporari.
KEMASAN ruang tamu yang lebih bergaya moden dan kontemporari.
IDEA binaan kabinet atau rak untuk ruang di bawah tangga.
IDEA binaan kabinet atau rak untuk ruang di bawah tangga.
Hartini Mohd Nawi


Pengalaman bekerja dengan beberapa syarikat pemaju hartanah terkemuka negara antara dorongan kuat kepada Faizal Mohamad bahawa dunia hiasan dalaman mempunyai aura tersendiri.

Baik pejabat mahu pun ruang kediaman, idea dekorasi sudah menjadi sesuatu yang penting untuk mengubah keseluruhan suasana.

Menyedari hakikat itulah, anak kelahiran Bagan Datoh, Perak ini menyahut cabaran dengan menubuhkan syarikat yang menyediakan perkhidmatan dari pengubah suaian hingga hiasan dalaman untuk berkongsi ilmu dan pengalaman sebaik mungkin.

“Seorang pereka dalaman mampu bergerak lebih jauh menggunakan pendekatan yang selari dengan perkembangan dunia rekaan, sentiasa belajar dan menambah ilmu dalam mereka bentuk sesuatu rekaan bersifat kontemporari atau futuristik.

“Sesiapa pun boleh bercakap mengenai penataan ruang atau dekorasi, namun sejauh manakah idea itu diterjemahkan dan bagaimana untuk menjadikannya benar-benar menepati cita rasa serta keperluan anda?” kata Ketua Pegawai Operasi Pentagram Works Sdn Bhd itu.

Beliau turut mengakui skop tugas pereka dalaman sering berkait rapat dengan kehendak pelanggan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

“Bidang ini bukan kerjaya mudah kerana memerlukan seseorang pereka mempunyai ilmu mendalam mengenai material digunakan hinggalah aspek keselamatan.

“Ilmu yang dimiliki membantu ruang di sesebuah bangunan, rumah dan premis perniagaan menjadi lebih menarik serta lebih selesa,” katanya yang mengakui dekorasi antara nilai tambah yang memerlukan banyak perkara diambil kira sebelum terlaksana sepenuhnya.

Pada masa sama, pembinaan bangunan tinggi dan kediaman di negara ini makin memberi tumpuan terhadap keunikan reka bentuk dalaman selain luaran.

Reka bentuk dalaman yang kemas dan menarik tentunya menyerikan suasana serta menambahkan keceriaan sesebuah bangunan.

“Ini menunjukkan bidang ini penting dan muncul antara kerjaya berpotensi besar serta prospek cukup baik.

“Selari dengan kemajuan dari segi pembangunan di negara ini, industri seni reka bentuk dalaman sangat cerah kerana membabitkan pelbagai cabang rekaan dalaman landskap dan seni bina,” katanya.

Dalam menyahut cabaran, Faizal berkata pereka bentuk dalaman perlu mencipta keistimewaan tersendiri dari reka bentuk hingga dapat menghasilkan sentuhan indah yang berbeza berbanding pereka lain.

“Cabarannya sudah tentulah proses merealisasikan lakaran idea dari sekeping kertas hingga siap projek di mana profesionaliti, kepakaran serta pengalaman dalam pengurusan sesuatu projek sangat diperlukan bagi menjamin kepuasan pelanggan,” katanya.

Faizal juga tidak menafikan dalam setiap perancangan dekorasi, segalanya menjadi kenyataan apabila bajet yang diperuntukkan bersesuaian.

“Bermula dengan bajet, anda yang mengimpikan dekorasi terbaik boleh bergabung idea dengan kami.

“Duduk dan sama-sama berbincang keperluan dan kesesuaiannya,” katanya yang menceburkan diri dalam perniagaan reka bentuk dalaman secara serius pada tahun 2014.

Daripada pengubahsuaian pejabat atau kediaman hingga penampilan dekorasi terbaik, semua perkhidmatan itu dilakukan sebaik mungkin bagi memenuhi setiap perancangan yang dibuat.

“Apabila sudah bersetuju, lakaran tiga dimensi dilakukan untuk memberi gambaran lebih jelas mengenai keadaan ruang tertentu.

“Kami sama-sama berbincang untuk penghasilan pengubahsuaian dan dekorasi terbaik untuk setiap ruang,” katanya yang menjadikan pejabat Pentagram Works sebahagian daripada ruang pameran dekorasi.

Dilihat secara keseluruhan, konsep moden dan kontemporari masih menjadi pilihan utama kebanyakan masyarakat negara ini.

Cuma trend penggayaan ruang Scandivian dan geomatikal mula mendapat tempat dengan pendekatan berbeza.

Gaya Scandivian yang sudah lama menghiasi ruang kediaman masyarakat Eropah itu apabila diketengahkan di negara ini, ia banyak menggabungkan perabot dan aksesori hiasan tempatan.

Begitu juga dengan gaya geomatikal yang banyak bermain dengan elemen dan motif geometri.

Ia antara trend pilihan masa kini yang mewarnai konsep moden dan kontemporari selain kemudahan Internet dilihat sebagai sumber utama inspirasi penataan.

Berminat mengetahui lebih lanjut anda boleh kunjungi ruang pameran Pentagram Works di No 102, Jalan SS2/75, Petaling Jaya atau layari Facebook Pentagram Interior Design.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 September 2016 @ 5:26 AM