DUTERTE (kiri) berbincang dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo ketika bertemu di Istana Negara di Jakarta semalam. - AP
DUTERTE (kiri) berbincang dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo ketika bertemu di Istana Negara di Jakarta semalam. - AP
AFP

Jakarta: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte semalam menegaskan bahawa dia sebenarnya tidak berniat untuk menghina Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama.

Duterte mencetuskan kontroversi menjelang sidang kemuncak Asian pada minggu ini apabila menggelar Obama sebagai anak pelacur, menyebabkan pemimpin AS itu membatalkan pertemuan mereka.

Bagaimanapun, kedua-dua pemimpin itu berjumpa sebentar ketika persidangan di Laos selepas Duterte melahirkan kekesalannya.

Duterte yang melawat Indonesia semalam memberitahu, kenyataan itu bukannya ditujukan kepada Obama tetapi kepada Jabatan Negara AS yang menyentuh mengenai kemungkinan hak asasi manusia dicabuli di Filipina.

Kebimbangan itu berkaitan dengan kempen memerangi dadah Duterte yang sehingga kini menyebabkan hampir 3,000 orang maut dalam tempoh dua bulan.

“Saya sangat marah dengan ancaman mengenai isu hak asasi manusia. Ini salah orang gila di Jabatan Negara AS,” tegasnya.

Kata Duterte, dia juga sudah menjelaskan perkara itu kepada Obama ketika mereka bertemu.

Duterte yang terkenal dengan mulut celuparnya pernah menggelar Pope Francis dan Duta AS ke Manila sebagai anak pelacur.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon turut tidak terlepas apabila dia membantah kempen Duterte itu.

“Saya sendiri memberitahunya (Ban) kamu hanya seorang lagi yang bodoh.

“Saya akan meneruskan kempen memerangi penjenayah dan tiada sifat belas kasihan pada mereka.

“Saya tidak peduli. Saya adalah Presiden Filipina bukannya republik masyarakat antarabangsa,” tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2016 @ 8:18 AM