SHADNI (kiri) bersama pekerja menjemur buah roselle.
SHADNI (kiri) bersama pekerja menjemur buah roselle.

Berbudi pada tanah pasti ada hasilnya. Itu yang diterjemahkan sekumpulan penanam roselle di Kampung Padang Tara, Hulu Terengganu, hingga mereka mampu meraih pulangan menjangkau RM12,000 semusim.

Ketua Kelompok Tanaman Roselle Mohd Rusdan Deraman, 52, berkata, tanah seluas 0.8 hektar di kawasan kampung ditanam dengan tanaman berkenaan.

Menurutnya, tiga peserta mengusahakan tanaman itu dan tempoh memetik hasil bermula selepas empat bulan roselle ditanam.

“Roselle boleh dipetik selama enam bulan dan dijual dengan harga RM1.70 sekilogram kepada pengilang atau pengusaha di daerah ini.

“Tanaman yang kaya dengan vitamin C ini ditanam daripada jenis UKM 2. Untuk semusim, peserta mampu memperoleh hingga lapan tan hasil roselle,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 1,800 pokok roselle ditanam peserta di kampung berkenaan sejak tahun lalu.

Katanya, pendapatan hasil tanaman roselle mampu menambah pendapatan terutama kepada suri rumah.

Berikutan itu, pihaknya membuat perancangan memperluaskan kawasan tanaman berikutan kejayaannya selepas percubaan pertama tahun lalu.

Seorang peserta Minah Salleh, 40, berkata, pokok roselle mudah dijaga selain tempoh singkat untuk menuai hasil dan mempunyai nilai pasaran yang baik untuk dijadikan tanaman komersial.

“Buah roselle juga boleh dijadikan pelbagai produk dan setiap peserta mampu meraih pendapatan hingga RM5,000 semusim jika diusahakan dengan baik.

“Baja yang mencukupi dan kurang gangguan musuh perosak membolehkan peserta menuai sehingga penghujung musim,” katanya.

Pengurus Koperasi Tani Kampung Langgar Kuala Berang Shadni Ayub, 42, berkata, koperasi itu mula menguruskan hasil roselle sejak September tahun lalu.

“Jika pengeluarannya banyak, kami akan menghantar hasil tuaian ke Kedah atau Selangor yang mempunyai kilang memproses lebih besar.

“Jika hasil yang dipetik dalam kuantiti kecil contohnya hanya 200 hingga 500 kilogram, pihak koperasi sendiri menghasilkan produk yang kemudian dipasarkan ke kedai sekitar Hulu Terengganu,” katanya.

Menurutnya, lebih 10 kampung di Hulu Terengganu, antaranya Kampung Buluh, Durian Kassim, dan Pasir Nering, menjalankan projek penanaman roselle.

Katanya, ketika ini pihaknya membeli hasil tuaian petani dengan harga RM1.70 sekilogram.

Shadni berkata, selain memberi pendapatan tambahan kepada petani terutama suri rumah, kerja menghasilkan produk hiliran di pusat pemprosesan koperasi juga memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

“Antara produk yang dihasilkan koperasi ini ialah kordial, jus, sambal, jem dan juga halwa.

“Sejak mula beroperasi pada akhir tahun lalu, koperasi sudah menjual lebih satu tan jus roselle dan kami melihat industri roselle mampu bertahan dan memberi pulangan lumayan jika diusahakan dengan baik.

“Melalui perjanjian persefahaman antara koperasi dengan dua kilang di Kedah dan Selangor, kami mampu menjamin roselle yang ditanam dapat dipasarkan,” katanya. - Nazdy Harun

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2016 @ 7:55 AM