Wan Nur Ameera Meor Rozman


Dunia di hujung jari membuatkan masyarakat kini lebih gemar berbelanja secara dalam talian berbanding membeli-belah di kompleks beli-belah.

Dengan pembelian dalam talian, terdapat beberapa kaedah untuk mendapatkan barangan yang ditempah sama ada melalui khidmat penghantaran (COD) mahupun menerusi bayaran pos.

Untuk menyemak status penghantaran pos anda, terdapat aplikasi yang membolehkan anda untuk berbuat demikian antaranya Malaysia Post Tracker khusus untuk pengguna Android.

Khas untuk mengesan bungkusan bagi perkhidmatan pos di Malaysia saja, Malaysia Post Tracker membenarkan anda menyemak status penghantaran barang daripada pelbagai syarikat penghantaran antaranya Poslaju, EMS, PosDaftar (Registered), PosExpres, Skynet, GDEX, ABX, CITY-LINK, TNT, KANGAROO, AIRPAK, DPE, TA-Q-BIN dan banyak lagi.

Menggunakan Malaysia Post Tracker, anda boleh menyemak sehingga 10 nombor pengesanan dalam satu masa.

Bagi pengguna Apple pula, AfterShip Package Tracker adalah pilihan aplikasi pengesan perkhidmatan pos terbaik untuk anda.

Apa yang menariknya mengenai aplikasi ini, ia merangkumi sehingga 320 syarikat perkhidmatan pos dari seluruh dunia yang membolehkan anda untuk menyemak status penghantaran dari mana-mana negara di mana pembelian dilakukan.

Selain memasukkan nombor pengesanan, anda juga boleh menggunakan kod bar sebagai alternatif lain.

Notifikasi berkaitan status penghantaran dari awal proses penghantaran kepada penghantaran yang gagal dilakukan akan diberikan sekiranya anda sudah menyenaraikan nombor pengesanan barang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2016 @ 5:44 AM