FAIL Muhaizan Yahya
FAIL Muhaizan Yahya
Mohd Hanafis Abdul Haris


Kluang: Kementerian Pertahanan akan membina kem bagi Batalion Infantri Standard dan Rejimen Artileri Diraja Bantuan Rapat.

Kem tentera itu akan dibina tapak seluas 140 hektar di Hutan Melintang di Bagan Datoh, Perak.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kem terbabit dijangka mula beroperasi awal tahun depan yang mampu menempatkan lebih seribu anggota.

Beliau berkata, pembinaan terbabit dilaksanakan berdasarkan beberapa pertimbangan termasuk lokasi berdekatan 'blue border' iaitu sempadan laut Malaysia-Indonesia.

"Kem ini turut memperkukuhkan aspek keselamatan di kawasan Bagan Datoh sekali gus menangani kegiatan jenayah rentas sempadan serta merancakkan aktiviti ekonomi kawasan terbabit.

"Selain itu keadaan Kem 23 RAMD (Rejimen Askar Melayu Diraja) Ipoh yang padat dan tidak boleh diperluas infrastrukturnya. Penempatan ini terpaksa dipindahkan ke Kem Hutan Melintang demi pertahanan dan keselamatan yang lebih baik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Sembrong yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2016 @ 2:14 PM