PERSIAPAN terakhir bagi Majlis Pengisytiharaan Daerah Bagan Datoh  oleh Sultan Perak, hari ini.
PERSIAPAN terakhir bagi Majlis Pengisytiharaan Daerah Bagan Datoh oleh Sultan Perak, hari ini.

Bagan Datoh: Sebagai daerah baru yang akan diisytiharkan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini, Bagan Datoh bakal berubah wajah apabila banyak pembangunan fizikal akan dilaksanakan.

Ia berdasarkan kelulusan 21 projek bernilai RM1 bilion yang diberikan Kerajaan Persekutuan dan negeri untuk dibangunkan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pegawai Daerahnya, Datuk Hamzah Hussin berkata, projek Bagan Datoh Water City (BDWC) antara pembangunan utama yang akan dilaksanakan sejajar keperluan menyediakan kemudahan dan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Menurutnya, BDWC di kawasan seluas 383.7 hektar antara lain membabitkan pembangunan kompleks pentadbiran daerah, kompleks pentadbiran Kerajaan Persekutuan, kem Askar Wataniah, ibu pejabat polis daerah (lPD), balai bomba dan penyelamat, Pejabat Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan kemudahan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Katanya, projek perumahan FELCRA, Program Perumahan Rakyat (PPR), Kompleks Warisan, Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) dan Masjid BDWC, akan turut dibina.

“Semua projek terbabit dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh lima tahun dan bakal memberi manfaat kepada 70,300 penduduk pelbagai kaum di daerah ini,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Hamzah berkata, banyak lagi projek yang sedang dan akan dilaksanakan di daerah itu seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), kompleks sukan, terminal Jeti, pembangunan landskap Dataran Bagan Datoh, penempatan semula Pusat Giat MARA, pembinaan Waterfront Bagan Datoh dan kem askar serta tiga dewan serbaguna masing-masing di Mukim Hutan Melintang, Bagan Datuk dan Rungkup.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2017 @ 5:15 AM