POLIS di luar kawasan kedai tembikar di Ayer Hitam, Batu Pahat. FOTO Mohd Hanafis Abdul Haris
POLIS di luar kawasan kedai tembikar di Ayer Hitam, Batu Pahat. FOTO Mohd Hanafis Abdul Haris
Mohd Hanafis Abdul Haris


Batu Pahat: Penjenayah yang menjadikan pemilik kedai tembikar di Ayer Hitam di sini sebagai tebusan sejak 8.20 malam tadi akhirnya ditembak mati kira-kira 12.30 tengah malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kejadian berlaku pada 8.20 malam apabila suspek meluru masuk ke kedai tembikar berkenaan bagi mengugut mangsa.

"Mangsa perempuan berusia 53 tahun diugut untuk menyerahkan wang bernilai RM300,000. Namun keengganan mangsa berbuat demikian menyebabkan dia diheret ke dalam bilik belakang sebelum dijadikan tebusan," katanya.

Menurutnya, polis kemudian melakukan rundingan bagi melepaskan mangsa, namun tindakan berkenaan turut tidak berhasil.

"Suspek mula bertindak agresif dengan mengacukan pistol untuk menembak mangsa, namun tindakan pantas anggota melepaskan dua das tembakan terhadap lelaki terbabit berjaya menyelamatkan mangsa. Suspek ditembak di bahagian kepala dan mati di tempat kejadian," katanya.

Menurutnya, mangsa tidak mengalami kecederaan, namun masih trauma dengan kejadian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2016 @ 2:11 AM