BILIK dipanggil The Tastement of Tesla, berkonsepkan memecah misteri wasiat.
BILIK dipanggil The Tastement of Tesla, berkonsepkan memecah misteri wasiat.
ONG bersama sebahagian tema bilik.
ONG bersama sebahagian tema bilik.
PEMAIN perlu menggunakan kreativiti mengenal pasti kod tertentu.
PEMAIN perlu menggunakan kreativiti mengenal pasti kod tertentu.
ANTARA pemain memeriahkan cabaran Breakout.
ANTARA pemain memeriahkan cabaran Breakout.
Nurul Husna Mahmud


Gelap dan ruang sempit ‘Breakout’ pasti menjadi igauan ngeri buat mereka yang ada klausfobia. Namun, perasaan itu boleh ditangani apabila mempunyai teman yang mampu membantu menangani cabaran 55 minit dalam cabaran melepaskan diri itu.

Malah ia menguji kemampuan berfikir di luar kotak menerusi kod tertentu selain permainan minda menjadi kunci untuk ‘hint’ seterusnya. Debaran, cemas selain teruja antara episod emosi buat mereka yang pernah mencuba cabaran bilik bertema di Breakout NU sentral.

Menariknya selain tugasan memecah kod, pemain turut diberi watak atau karakter tertentu cukup penting dalam permainan berkenaan. Tidak dinafikan permainan interaktif minda digabungkan dengan ‘permainan watak’ adalah format julung kali seumpama itu pernah dilakukan di Malaysia mahupun dunia.

Pengasas Breakout Johnny Ong berkata, keunikan Breakout menggabungkan pengalaman permainan interaktif minda bersama ‘role play’ julung kali di dunia.

Katanya, kombinasi itu membuatkan pusat diusahakan bersama empat rakan lain mendapat sambutan menggalakkan daripada pemain permainan dalaman.

“Saya bersama rakan mencuba permainan ini ketika kunjungan ke China dan terbawa-bawa keseronokan itu kami mula mereka konsep sendiri apabila pulang ke Malaysia dua tahun lalu.

“Berbeza daripada permainan melepaskan diri lain, ada format ekstra apabila mereka yang mencuba permainan ini perlu memikul peranan tertentu bagi membantu mereka keluar.

“Bermula dengan empat bilik, kami mengajak rakan mencuba dan mereka mengakui terhibur dengan cabaran itu, barulah kami buka pada umum. Kini ada enam tema berbeza selain mempunyai cawangan di ECurve Damansara.

“Kami turut membuka di New Zealand dan Korea selain mempunyai kolaborasi di Arab Saudi dilesenkan di bawah jenama Breakout.

“Sudah tentunya itu satu penghormatan buat saya dan rakan di Breakout dan berharap semua dapat berseronok dengan konsep kami. Harapan kami Breakout ini boleh jadi fenomena di Malaysia, Asia mahupun dunia,” katanya.

Imbas nostalgia kanak-kanak

Menurut pemain Mohd Salim Mohd Saleih, 31, permainan itu mengimbas nostalgia ketika kanak-kanak.

“Saya berterima kasih kepada pengurusan syarikat yang membawa saya menjalani ‘team building’ di pusat interaktif ini. Pada usia ini pergi ke pusat seperti ini pada saya perasaan sukar digambarkan.

“Ia membabitkan permainan minda dan memerlukan strategi berbeza daripada keadaan kerja sebenar. Biar berdebar, namun perasaan teruja lebih dirasai.

“Mulanya tidak dapat membiasakan diri dalam keadaan gelap dan ruang terhad, namun berada bersama pasukan kami seolah-olah mengimbas kembali pengalaman bermain jigsaw puzzle ketika kecil.

“Cuba memecah kod dan sambil bermain tidak membuat kami rasa tertekan sepanjang 55 minit apabila kami mula mendapat rentak menyelesaikan teka-teki dalam bilik. Rasa gembira serta kepuasan memang tidak terkata apabila dapat melepaskan diri daripada bilik dalam tempoh ditetapkan,” katanya.

Sejauh mana ia memberi kesan kepada dia serta rakannya, Salim berkata kerja berpasukan sangat penting dalam menjayakan misi berkenaan.

“Permainan ini menekankan peranan serta sumbangan individu penting kepada kejayaan sesuatu organisasi.

“Contohnya dalam permainan itu, kami diberi peranan mempunyai kelebihan tertentu untuk membantu kami melepaskan diri.

“Menariknya ia memberi gambaran seperti mana tugasan kami sebagai individu dalam sesuatu organisasi perlu lebih kreatif dan berkesan memainkan peranan masing-masing agar dapat mencapai sasaran jabatan mahupun syarikat keseluruhannya,” katanya.

Rapat jurang dengan rakan

Bagi Sara Alicia Andrew, dia tidak kekok bermain bersama rakan pasukan mempunyai jarak usia lebih jauh mahupun pangkat berbeza.

“Menariknya dalam permainan ini, saya bersama rakan mengetepikan ego masing-masing dan cuba berkolaborasi agar dapat melepasi cabaran setiap bilik.

“Bukan mudah contohnya setiap tema, mempunyai empat bilik mewakili tahap kesukaran cabaran. Mula-mula mudah dan semakin jauh kita masuk semakin sukar teka-teki diberikan.

“Selain itu laluan dia bukanlah mendatar kerana perlu merangkak dan memanjat, jadi kita perlu fikir bagaimana setiap ahli dapat lepas semua laluan ini.

“Ini memberi pengalaman kepada saya dan rakan sekerja mengenai semangat kerjasama perlu ada selain komunikasi efektif membantu kami semua lepasi cabaran bilik Breakout,” katanya yang mencuba bilik ‘Panic Ambience’.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2016 @ 5:26 AM