BERNAMA

Shah Alam: Akibat berebut jalan, seorang pemandu lori berusia 29 tahun lebam muka dan tangan akibat dipukul tiga lelaki dalam kes buli jalan raya di Persiaran Mokhtar Dahari, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, polis menerima maklumat kira-kira 7.18 pagi tadi mengenai seorang pemandu lori cedera dipukul dengan besi oleh suspek yang menaiki van di persiaran itu.

Beliau berkata tiga suspek itu bagaimanapun ditahan beberapa minit kemudian di sekitar Shah Alam.

"Hasil siasatan mendapati mangsa yang kini dirawat di Hospital Besar Shah Alam dicederakan suspek kerana berebut jalan," katanya dalam kenyataan menerusi WhatsApp.

Shafien berkata polis merampas sebatang besi dan serangkai kunci lori milik mangsa daripada suspek berusia antara 23 dan 38 tahun yang bekerja sebagai

pemandu van.

Katanya ketiga-tiga mereka ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2016 @ 12:15 AM