CAMERON
CAMERON
Reuters

London: Dua parti utama Britain secara terbuka mengalami konflik selepas undian untuk meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) mencetuskan ‘cubaan rampasan kuasa’ dalam parti pembangkang utama, Labour, serta perebutan kuasa parti pemerintah Konservatif.

Kedua-dua parti menerima kesan hasil referendum minggu lalu itu yang melihat pengundi Britain memilih meninggalkan EU seterusnya mencetuskan perbalahan antara rakyat negara itu.

Perdana Menteri David Cameron akan meletak jawatan yang mencetuskan persaingan hebat untuk menggantikannya, manakala beberapa ahli Parlimen Labour juga meletak jawatan dalam usaha memaksa ketua mereka Jeremy Corbyn berbuat sama.

Menteri Pertama Scotland Nicola Sturgeon menggambarkan keadaan itu ‘vakum kepemimpinan’ memalukan selain memberi gambaran Scotland yang mahu terus kekal dalam EU berkemungkinan mengadakan referendum sendiri sekali lagi untuk berpisah dengan United Kingdom.

Cameron akan terus memegang jawatan itu sehingga Oktober, tetapi keputusannya itu merisaukan pihak anti-EU yang mengharapkan pemimpin baru yang tidak memihak kepada blok itu sebelum rundingan dan perbincangan bermula untuk memastikan proses berjalan adil serta lancar.

Sementara itu, bagi Parti Labour, Corbyn memecat ketua hal ehwal dasar luarnya, Hilary Benn kerana dianggap tidak boleh dipercayai.

Sehubungan itu, semakin ramai ahli Parlimen Labour mendesak Corbyn meletak jawatan kerana menganggap dia gagal memainkan peranan lebih kuat dalam kempen untuk kekal dalam EU.

Dua ahli politik Labour membuat usul tidak percaya terhadap Corbyn, bakal didebatkan minggu ini.

Lima lagi anggota Kabinet Bayangan Corbyn meletak jawatan tanda protes terhadap kepemimpinannya dan lebih ramai difahamkan akan mengikut jejak mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2016 @ 9:12 AM