Agensi

Samarinda: Pihak Berkuasa Pelabuhan Samarinda semalam mengesahkan tujuh kru sebuah kapal tunda Indonesia diculik sekumpulan lelaki bersenjata di perairan Filipina.

Ketua Pihak Berkuasa Pelabuhan Samarinda, Yus Kusmany mengesahkan tujuh daripada 13 kru kapal TB Charles itu diculik.

“Kami bekerjasama dengan polis dan tentera meneliti laporan ini,” katanya.

Menurutnya, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian penculikan itu oleh seorang anak kapal.

“Kali terakhir kami berhubung dengan anak kapal itu pada pagi ini (semalam) kira-kira jam 10.20 pagi (waktu tempatan).

“Bot itu kini berada di kawasan berhampiran tanjung Mangkaliat,” jelasnya.

Menurutnya, 13 anak kapal yang menaiki bot itu, tetapi hanya tujuh yang diculik manakala bakinya dibebaskan.

Bot itu berlayar dari Samarinda pada 4 Jun lalu dan dijangka kembali pada 27 Jun ini.

Isteri kepada seorang kru yang dikenali sebagai Ismail, Dian Megawati Ahmad berkata, dia menerima panggilan telefon daripada suaminya mendakwa dia diculik kumpulan Abu Sayyaf.

Kumpulan itu menuntut wang tebusan berjumlah RM20 juta sebagai syarat membebaskan semua mangsa. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Jun 2016 @ 7:25 AM