Pelakon filem Tanda Putera, Ahya Ulumuddin Rosli yang lebih dikenali sebagai Ahya U Rosli, bersama ibunya, pelakon Normah Damanhuri. - Foto Fail
Pelakon filem Tanda Putera, Ahya Ulumuddin Rosli yang lebih dikenali sebagai Ahya U Rosli, bersama ibunya, pelakon Normah Damanhuri. - Foto Fail
BERNAMA

Kuala Lumpur: Model dan pelakon filem Tanda Putera, Ahya Ulumuddin Rosli yang lebih dikenali dengan nama 'Ahya U Rosli' didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah mencederakan seorang eksekutif.

Ahya, 29, didakwa mencederakan Mohamad Asrul Affendi Roseli, 31, dengan menumbuk muka mangsa beberapa kali menyebabkan kecederaan pada kening kanan, pecah bibir serta bengkak muka.

Anak pelakon Normah Damanhuri (yang juga hadir di mahkamah) didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan tempat letak kereta gelanggang futsal Sentral Mark, Setapak, di sini pada 11.30 malam, 14 Jun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga setahun dan denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya.

Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid juga mengarahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda dan pelakon itu membayar denda berkenaan.

Dalam rayuannya, Ahya yang diwakili peguam Ahmad Ridza Mohd Noh merayu hukuman denda minimum atas alasan tidak dapat mengawal emosi ketika sedang marah.

Timbalan Pendakwa Raya, Noorelynna Hanim Abd Halim memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kekerapan kesalahan itu dan keselamatan awam.

Mengikut fakta kes, mangsa yang ketika itu tiba di tempat letak kereta, didatangi tertuduh yang kemudian menumbuk mukanya disyaki menggunakan objek keras.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2016 @ 5:03 PM